BN serah penyelesaian krisis Negeri Sembilan kepada Tuanku Muhriz - Utusan Malaysia

BN serah penyelesaian krisis Negeri Sembilan kepada Tuanku Muhriz

AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perhimpunan Agung Keempat Perwakilan MCA Ke-30 di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua urusan dan kuasa pelantikan membabitkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim diserahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Barisan Nasional (BN) menghormati kuasa Tuanku Muhriz dalam menentukan pelantikan berkenaan.

Beliau berkata, BN tidak akan melanggar mana-mana peruntukan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dan mencampuri urusan adat berkaitan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita serahkan kuasa pelantikan ini kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-pertuan Besar dan kita tidak akan pernah melanggar sebarang perkara yang termaktub dalam perlembagaan negeri.

“Pada khidmat saya, kepentingan rakyat harus diberikan keutamaan dan jika terus berlaku permasalahan adat DKU, itu bukan sesuatu yang harus dicampuri oleh BN dan UMNO.

“Kita serahkan perkara itu untuk diselesaikan oleh pihak-pihak yang berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Agung Keempat Perwakilan MCA Ke-30 di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 24 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) akan mengutus warkah kepada Tuanku Muhriz untuk memaklumkan bahawa Ismail tidak mendapat sokongan majoriti wakil rakyat sebagai Menteri Besar.

Warkah berkenaan menjadi perkembangan terbaharu kemelut politik negeri itu yang menyaksikan Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu yang dijadualkan berlangsung hari ini, berkemungkinan tidak diteruskan.

Ini susulan kenyataan Istana Negeri Sembilan kelmarin bahawa Ismail mesti membuktikan sokongan majoriti di dalam DUN bagi menentukan kedudukannya selaras dengan konvensyen dan peruntukan UUTKNS 1959.

Seorang ADUN kerajaan memberitahu, usul tidak percaya ber­kenaan dicapai selepas semua pihak akur dengan pendirian pucuk pimpinan yang meminta Ismail melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

Katanya, kesemua 24 ADUN bakal mengutuskan warkah ke­pada Tuanku Muhriz dalam masa terdekat.

Ahmad Zahid berkata, penyelesaian terhadap kemelut berkenaan perlu dicapai bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan berjalan lancar, khususnya menjelang Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pembentangan Belanjawan 2027.

Katanya, BN dan UMNO Negeri Sembilan akan memohon perkenan Tuanku Muhriz supaya Sidang DUN dapat berlangsung, selain berharap solidariti yang ditunjukkan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mampu membantu mencari penyelesaian tuntas terhadap kemelut itu.

“Bagi 24 ADUN yang telah bertemu dan membuat pernyataan sebagaimana dikeluarkan Datuk Seri Mohamad Hasan, kita akan mencari jalan penyelesaian yang baik mengenai bagaimana pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan disusun atur setelah mendapat perkenan Tuanku.

“Sudah tentu BN Negeri Sembilan dan UMNO Negeri Sembilan akan memohon perkenan supaya persidangan itu dapat dilakukan dan mudah-mudahan solidariti daripada 24 ADUN ini akan dapat mencari jalan penyelesaian yang tuntas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini