KUALA LUMPUR: Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dinyahklasifikasi bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menyediakan afidavit balas terhadap permohonan semakan kehakiman yang difailkan Majlis Peguam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kandungan minit mesyuarat itu mengandungi maklumat penting yang perlu dimasukkan dalam afidavit bagi membolehkan kerajaan menjawab permohonan berkenaan.
Beliau berkata, AGC perlu mengemukakan afidavit balas bagi pihak kerajaan susulan tindakan Majlis Peguam mencabar isu berkenaan melalui proses semakan kehakiman.
“Afidavit itu hanya akan lengkap sekiranya perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dimasukkan dalam kandungannya,” katanya ketika ditemui pada Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Fun Run di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, Jemaah Menteri tidak pernah membincangkan berkaitan nyahklasifikasi minit mesyuarat Lembaga Pengampunan seperti didedahkan secara terbuka oleh bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, tindakan membocorkan maklumat daripada dokumen penting kerajaan tidak boleh dipandang mudah kerana berpotensi menjejaskan keselamatan negara.
Katanya, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku melainkan kerajaan sendiri membuat keputusan untuk menyahklasifikasikan dokumen berkenaan.
Minit mesyuarat itu mencatatkan, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.
Beberapa muka surat dokumen itu dikongsi oleh Tony menerusi akaun Facebook miliknya termasuk bahagian yang merekodkan pendirian Peguam Negara berhubung perkara berkenaan.
Saifuddin Nasution enggan mengulas lanjut mengenai pendedahan dokumen berkenaan termasuk pihak yang bertanggungjawab serta tujuan ia didedahkan.
“Kerajaan tidak berada dalam kedudukan untuk menjelaskan perkara itu,” katanya. – UTUSAN











