PETALING JAYA: Misi skuad bola sepak Bawah 16 Tahun (B-16) kebangsaan untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 berakhir dengan kekecewaan selepas menamatkan aksi kelayakan di tangga ketiga Kumpulan E.
Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam kelmarin, Malaysia yang memerlukan kemenangan dengan perbezaan tiga gol sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang India.
Kekalahan itu jelas mengecewakan pemain-pemain serta ketua jurulatih, Shukor Adan yang menyifatkan pasukan negara tidak memanfaatkan peluang terhidang serta kelebihan bermain di laman sendiri.
Bagaimanapun, beliau tetap memberikan penghargaan kepada anak-anak buahnya yang mengerah segala kudrat di dalam padang selain menganggap benteng pertahanan India terlalu sukar untuk ditembusi.
“Untuk perlawanan hari ini (kelmarin), memang kita kecewa kerana tidak dapat catat kemenangan. Komitmen pemain di dalam padang saya puji kerana mereka sudah cuba sehabis baik hingga tamat perlawanan.
“Kredit juga kepada India kerana mereka bertahan sangat baik dan mereka tahu kita perlu menang dengan tiga gol. Mereka memang tidak memberikan ruang buat pemain-pemain kita bergerak bebas,” katanya.
Menerusi keputusan tersebut, India muncul sebagai juara saingan Kumpulan E dan berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan akhir Piala Asia B-17 di Uzbekistan tahun depan manakala Malaysia berpuas hati di tangga ketiga.
Sementara itu, Shukor mengingatkan semua pemain supaya tidak mudah mengalah dengan menjadikan kekalahan itu sebagai pengalaman pahit, seterusnya memperbaiki diri menjadi pemain lebih baik.
“Saya cakap kepada mereka, karier harus diteruskan dan anggap ini sebagai pengalaman pahit. Mereka sebenarnya menangis dalam bilik persalinan kerana mahu layak ke Piala Asia tetapi tidak kesampaian,” ujarnya. – UTUSAN











