Bradl jadi tonggak utama Honda

Bradl jadi tonggak utama Honda

STEFAN Bradl. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Honda Racing Corporation (HRC) mula memperkukuh barisan pengurusannya menjelang era baharu MotoGP yang dijangka penuh cabaran pada 2027 apabila melantik bekas juara dunia Moto2, Stefan Bradl sebagai Penyelaras Sukan bagi membantu operasi pasukan di litar.

Pelantikan itu menandakan lembaran baharu dalam karier pelumba kelahiran Jerman berkenaan selepas bertahun-tahun menjadi tonggak utama program pembangunan dan pelumba uji jentera MotoGP Honda.

Menerusi peranan baharu itu, Bradl akan memanfaatkan pengalaman lebih dua dekad di pentas Kejuaraan Dunia untuk menyokong barisan pelumba MotoGP Honda pada setiap hujung minggu perlumbaan, dengan tumpuan khusus terhadap prestasi mereka di atas litar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia akan menggabungkan kepakaran teknikal sebagai pelumba uji serta pengalaman luas dalam perlumbaan bagi membantu meningkatkan prestasi pelumba HRC, selain menjadi sebahagian daripada struktur sokongan pasukan di litar.

“Ia perjalanan yang panjang bersama Honda. Saya hanya mahu menggunakan segala pengalaman yang saya peroleh sebagai seorang pelumba. Saya memang suka bekerja bersama pelumba, jadi kita lihat apa yang akan berlaku selepas ini, tetapi saya sangat berterima kasih atas peluang ini,” katanya.

Pelantikan Bradl juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha HRC memperkukuh struktur operasi dan pengurusan perlumbaan ketika MotoGP bakal berdepan perubahan besar peraturan teknikal pada 2027, termasuk peralihan kepada jentera baharu serta kehadiran Fabio Quartararo dan Diogo Moreira dalam barisan pelumba pasukan pengilang Honda.

“Ini satu pengembaraan baharu sepenuhnya buat Quartararo yang membawa motivasi baharu, dan perkara sama turut dirasai di pihak kami. 

“Honda sebelum ini bergelut, tetapi sekarang kami mempunyai pakej yang lebih baik dan saya berharap dia dapat kembali tersenyum di atas jentera. Apa yang kami lakukan sejak beberapa bulan lalu adalah baik. Kami sudah bersedia,” jelasnya.

Bradl, yang muncul juara dunia Moto2 pada 2011 selepas mengatasi Marc Marquez, memulakan karier MotoGP pada 2012 bersama LCR Honda sebelum turut beraksi bersama Forward Yamaha dan Aprilia.

Dia kemudian beralih ke Kejuaraan Dunia Superbike pada 2017 sebelum kembali bersama Honda sebagai pelumba uji, selain beberapa kali tampil sebagai pelumba gantian dalam saingan MotoGP. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini