Bearman kekal bersama Haas 2027

Bearman kekal bersama Haas 2027

OLIVER Bearman. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAS VEGAS: Ketua pasukan Haas, Ayao Komatsu menegaskan tiada keraguan mengenai kedudukan Ollie Bearman bersama pasukan itu bagi musim Formula Satu (F1) 2027, meskipun kontrak baharu pelumba Britain berkenaan masih belum dimuktamadkan.

Jaminan itu hadir selepas Bearman sebelum ini meluahkan rasa kecewa berikutan kelewatan dalam mengesahkan masa depannya bersama Haas, ketika rundingan kontrak masih berlangsung.

Komatsu bagaimanapun berkata, kelewatan berkenaan tidak menjejaskan motivasi pelumba berusia 21 tahun itu, yang terus menunjukkan komitmen tinggi setiap minggu perlumbaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak fikir dia memerlukan motivasi. Dia sangat, sangat bermotivasi. Saya rasa itu dapat dilihat setiap minggu. Perkara itu bukan masalah sama sekali.

“Namun, kontrak itu mengambil sedikit masa untuk menyelaraskan semua pihak dan memuktamadkan segala perkara.

“Semua pihak sudah sependapat. Ollie mahu memandu untuk kami dan kami juga mahu Ollie berada dalam kereta. Jadi, tidak ada keraguan perkara itu akan berlaku. Cuma agak malang kerana prosesnya mengambil masa yang lama, tetapi ia akan dimuktamadkan,” katanya.

Komatsu enggan mengulas secara terperinci mengenai kemungkinan penglibatan Ferrari dalam proses rundingan itu, memandangkan Bearman turut berada dalam program pembangunan pelumba pasukan berkenaan.

“Seperti yang saya katakan, terdapat banyak pihak terlibat. Saya tidak mahu mengulas secara terperinci, tetapi tidak ada keraguan dia akan berada dalam kereta musim depan. Perkara itu akan berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai kekecewaan Bearman terhadap kelewatan berkenaan, Komatsu mengakui situasi itu dapat difahami kerana pelumba biasanya mahu urusan kontrak diselesaikan lebih awal.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Haas, Rafael Camara bakal meneruskan proses pembelajaran pada Grand Prix Las Vegas selepas membuat penampilan sulung di Brazil.

Pelumba muda Brazil itu dijangka berdepan cabaran berbeza di litar jalan raya Las Vegas, yang menawarkan tahap cengkaman rendah, keadaan suhu lebih sejuk serta kemungkinan hujan.

Komatsu bagaimanapun yakin Camara mampu mengendalikan cabaran berkenaan selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan pada penampilan sulungnya di Brazil, yang disifatkan sebagai antara hujung minggu perlumbaan paling mencabar buat pelumba baharu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini