Penyerang tembak mati lima renjer ditahan

Penyerang tembak mati lima renjer ditahan

PIHAK berkuasa mengepung sebuah rumah di Mukim Tanyong Limo, Rangae, Narathiwat sebelum menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat menyerang Pusat Pemeriksaan Bukit Sami mengorbankan lima anggota renjer. – IHSAN ISOC 4
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Pasukan keselamatan menahan seorang anggota kumpulan pemisah yang disyaki terbabit dalam serangan ke atas pusat pemeriksaan di Daerah Rangae di wilayah ini yang mengorbankan lima anggota renjer pada 22 Julai lalu.

Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan setelah polis dan tentera mengepung dan menggeledah sebuah rumah di Mukim Tanyong Limo, Rangae, kira-kira pukul 4 pagi semalam.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan undang-undang dilakukan mengikut peraturan dan mematuhi hak asasi manusia susulan laporan risikan berkaitan pergerakan suspek di kampung Ban Bang Ya, Tanyong Limo, sejak beberapa hari lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, suspek disyaki sebagai penembak yang duduk di belakang sebuah pikap ketika serangan di Pusat Pemeriksaan Bukeh Sami, Mukim Tanyong Mas, Rangae 22 Julai lalu.

“Dalam serangan oleh sekurang-kurangnya 13 anggota kumpulan pemisah kira-kira pukul 6.45 petang itu, lebih 200 das tembakan dilepaskan ke arah pasukan renjer bertugas.

“Serangan itu melibatkan sebuah pikap dan beberapa motosikal. Suspek dipercayai salah seorang yang duduk di belakang pikap terbabit,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Jurucakap itu berkata, sehingga kini tujuh suspek yang terlibat dalam serangan itu ditahan dalam operasi pasukan keselamatan di Wilayah Narathiwat, dengan enam daripadanya mengaku bersalah.

Mengenai pemasangan sepanduk memaparkan simbol anak panah dan tanda soal di lokasi tertentu di Narathiwat, Yala dan Pattani, kelmarin, beliau berkata, pihak berkuasa masih mengumpulkan bukti, memantau dan menilai situasi dengan teliti untuk mengenal pasti mereka yang terlibat.

“Berdasarkan penilaian awal, tindakan itu mungkin komunikasi simbolik dengan implikasi politik, bagi memberi isyarat kepada orang ramai mengenai hala tuju menyelesaikan masalah di Selatan Thai, termasuk proses dialog damai,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini