THE HAGUE: Keputusan bersejarah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendapati Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya berpotensi mengukuhkan kes genosid Afrika Selatan terhadap Israel berhubung perang di Gaza, menurut pakar undang-undang.
Pakar berkata, keputusan itu mewujudkan asas rujukan undang-undang bahawa niat melakukan genosid boleh wujud serentak dengan matlamat ketenteraan.
Walaupun konflik di Gaza dan Myanmar berbeza dari segi perundangan, kedua-dua kes yang dibawa ke Mahkamah Dunia itu berasaskan dakwaan negara terbabit melanggar tanggungjawab masing-masing di bawah Konvensyen Genosid 1948.
Pada Khamis, mahkamah memutuskan Myanmar melanggar konvensyen berkenaan atas beberapa alasan berhubung layanan buruk angkatan tenteranya terhadap etnik minoriti Islam Rohingya.
Afrika Selatan yang memfailkan kes genosid terhadap Israel berhubung tindakannya di Gaza, menyambut baik keputusan itu. Menteri Luarnya, Ronald Lamola berkata, keputusan berkenaan menetapkan landasan perundangan penting apabila buat pertama kali mahkamah memutuskan sesebuah negara melakukan genosid.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai amat penting kepada kes terhadap Israel, yang dijangka hanya dibicarakan pada 2029.
Lamola berkata, Afrika Selatan akan meneliti keputusan itu bagi membuktikan, seperti yang diputuskan mahkamah dalam kes Rohingya, bahawa tindakan sesebuah negara termasuk pembersihan etnik, pembunuhan kanak-kanak, keganasan seksual dan pemusnahan infrastruktur awam boleh termasuk dalam takrifan genosid.
Sembilan daripada 15 hakim mahkamah mendapati kira-kira 10,000 pembunuhan, termasuk membabitkan kanak-kanak, pemusnahan rumah, keganasan seksual secara meluas serta pengusiran paksa lebih 700,000 penduduk pada 2017 merupakan genosid yang ditaja negara.
Mahkamah turut menerima pakai kesimpulan daripada laporan misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk laporan yang menyatakan kematian beramai-ramai dan rogol menunjukkan wujudnya niat melakukan genosid.
Pakar undang-undang Israel, Yuval Shany memberitahu Reuters, keputusan itu memperluas hujah yang boleh dikemukakan Afrika Selatan dalam kesnya terhadap Israel.
Beliau berkata, mahkamah mengekalkan syarat niat melakukan genosid mestilah menjadi satu-satunya kesimpulan munasabah, namun memperluas faktor konteks yang boleh dipertimbangkan selain corak tindakan, termasuk skala dan sifat sistematik perbuatan serta sejarah penganiayaan.
Katanya, pendekatan itu sekali gus memberikan lebih banyak ruang kepada Afrika Selatan untuk mengemukakan hujah genosid berlaku di Gaza.
“Satu lagi aspek keputusan itu yang berpotensi memberi kesan kepada kes Israel ialah penekanan mahkamah terhadap sifat sistematik dan skala jenayah yang dilakukan di Myanmar.
“Hujah bahawa niat atau objektif ketenteraan boleh menafikan kemungkinan wujudnya niat melakukan genosid kini ditolak oleh mahkamah,” kata Pakar Undang-Undang Jenayah Antarabangsa Universiti Amsterdam, Marieke de Hoon.
Beliau berkata, hakim mendapati beberapa tindakan termasuk serangan terhadap wanita dan kanak-kanak serta keganasan seksual tidak boleh dijelaskan semata-mata berdasarkan objektif ketenteraan, sekali gus menjadikan genosid satu-satunya kesimpulan munasabah.
Afrika Selatan mendakwa operasi ketenteraan Israel mewujudkan keadaan yang bertujuan menghalang kelahiran serta memberi kesan tidak seimbang terhadap wanita dan kanak-kanak di Gaza.
Dalam dokumen yang dikemukakan kepada ICJ, Afrika Selatan menyatakan kira-kira 70 peratus daripada mereka yang terbunuh bukan anggota kumpulan bersenjata.
Penasihat Kanan Asia Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) , Richard Horsey berkata, ambang perundangan ICJ berhubung kes genosid amat tinggi, namun kes di Myanmar menunjukkan halangan itu boleh diatasi.











