Dua graduan OKU terima Anugerah Ampuan Afzan

Dua graduan OKU terima Anugerah Ampuan Afzan

Amirul Syahmi Kamarudin (kiri) dan Muhammad Nur Amjadh Asabdeen bersama anugerah yang diterima pada Majlis Istiadat Konvokesyen UKM ke-54 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM Bangi, semalam. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Cabaran kesihatan dan keterbatasan fizikal tidak menghalang dua graduan orang kurang upaya (OKU) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuktikan kemampuan diri apabila masing-masing berjaya menerima Anugerah Ampuan Afzan.

Penerima Anugerah Ampuan Afzan, Amirul Syahmi Kamarudin, 28, berkata, kejayaan itu cukup bermakna selepas melalui perjalanan pengajian yang mencabar apabila disahkan menghidap kanser tulang ketika berusia 18 tahun sehingga terpaksa menjalani kemoterapi dan beberapa pembedahan.

“Saya menjalani enam kitaran kemoterapi sebelum menjalani pembedahan bagi membuang bahagian tulang yang terjejas akibat penyakit itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika itu, saya terpaksa meninggalkan kelas dan melanjutkan tempoh pengajian kerana perlu memberi tumpuan kepada rawatan.

“Keadaan tersebut turut menjejaskan emosi sehingga saya mengalami kemurungan, namun sokongan keluarga, rakan-rakan dan pensyarah banyak membantu saya untuk terus kuat dan menyambung pengajian,” katanya.

Amirul Syahmi berkata, ketika itu dia sedang mengikuti pengajian diploma kejururawatan dan terpaksa melanjutkan tempoh pengajian kerana perlu memberi tumpuan kepada rawatan.

Katanya, selepas menamatkan pengajian diploma, mengambil masa kira-kira setahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah, selain masih menjalani pemeriksaan susulan bersama doktor.

“Keadaan fizikal saya selepas menjalani pembedahan turut menyebabkan pergerakan terbatas apabila tidak dapat berjalan laju atau berlari seperti individu lain.

“Bagaimanapun, cabaran itu tidak menghalang saya membina kerjaya apabila kini bekerja secara tetap sebagai pentadbir di sebuah syarikat multinasional (MNC) di Tuah Baru, selain bercadang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana,” katanya.

Dalam pada itu, Amirul berkata, pengalaman melalui penyakit itu mengajarnya supaya tidak mudah menyerah kalah, terutama kepada individu lain yang berdepan cabaran kesihatan ketika masih menuntut ilmu.

“Jangan berputus asa walaupun berdepan penyakit. Jika doktor memberikan nasihat untuk menjalani rawatan, ikutlah dan jangan abaikan kesihatan.

“Jangan jadikan keadaan diri sebagai alasan untuk berhenti belajar. Teruskan usaha, belajar bersungguh-sungguh dan buktikan kita juga mampu mencapai kejayaan,” katanya.

Seorang lagi penerima Anugerah Ampuan Afzan, Muhammad Nur Amjadh Asabdeem, 26, berkata, keadaan kedua-dua kakinya yang bengkok sejak lahir akibat talipes tidak menghalangnya mengembangkan minat dalam bidang teknologi hingga berjaya mengusahakan tiga syarikat sendiri.

“Saya menjalani pembedahan pada kedua-dua belah kaki ketika berusia tiga tahun, namun keadaan kaki kiri masih sedikit bengkok sehingga menyebabkan pergerakan saya kelihatan kekok dan mudah mengalami luka akibat geseran dengan permukaan lantai,

“Ketika di sekolah, ramai yang memandang rendah terhadap kemampuan saya disebabkan keadaan kaki. Kata-kata orang sekeliling pernah membuatkan saya berasa sedih dan seolah-olah tidak mampu bekerja atau berusaha seperti orang lain.

“Namun, saya mula melihat potensi diri dalam bidang teknologi maklumat (IT) kerana memang meminatinya sejak di bangku sekolah, selain suka melakukan aktiviti yang menguji pemikiran logik dan menyelesaikan masalah,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini