PETALING JAYA: Keghairahan orang ramai meneroka keindahan alam semula jadi termasuk sungai dan air terjun telah mendorong peningkatan aktiviti rekreasi tanpa kebenaran di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Meskipun kawasan berkenaan dilindungi undang-undang dan tidak boleh dimasuki sewenang-wenangnya, larangan itu seolah-olah tidak diendahkan apabila masih terdapat individu mengambil kesempatan memasuki hutan simpan untuk aktiviti mendaki, berkhemah dan mandi-manda.
Lebih membimbangkan, pencerobohan berkenaan bukan sahaja mengundang risiko keselamatan kepada pengunjung, malah berpotensi merosakkan ekosistem hutan yang berperanan penting sebagai kawasan tadahan air, habitat hidupan liar serta pelindung biodiversiti.
Antara kawasan HSK di Selangor yang dikenal pasti menjadi lubuk rekreasi haram termasuk Hutan Simpan Ulu Gombak, Semangkok, Hulu Selangor, Ayer Itam, Bukit Lagong dan Jugra.
Mingguan Malaysia yang mengikuti satu operasi bersepadu diketuai Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) di HSK Ayer Itam, Puchong mendapati aktiviti rekreasi tanpa kebenaran itu bukan lagi sekadar dilakukan secara tersembunyi, sebaliknya terang-terangan.
Tinjauan mendapati papan tanda ‘Kawasan Larangan’ yang diletakkan kira-kira setiap 100 atau 200 meter dalam hutan sebagai amaran kepada orang awam tidak dipedulikan.
Dalam Ops Deepa itu, seramai 30 individu termasuk dua warga China ditahan kerana menceroboh hutan simpan tanpa permit.
Rata-rata yang ditahan memberikan alasan tidak mengetahui hutan tersebut merupakan kawasan larangan malah ada yang mendakwa terlajak masuk selepas mendaki Bukit Wawasan.
Seorang lelaki yang enggan dikenali berusia 60-an mendakwa, dia telah beberapa kali masuk ke HSK Ayer Itam namun tidak mengetahui tindakannya itu merupakan satu pencerobohan.
Dia yang berasal dari Puchong mengakui kejernihan air terjun di kawasan terbabit merupakan tarikan utama apabila dia serta rakan-rakan menghabiskan masa selepas mendaki Bukit Wawasan.
“Saya selalu mendaki dari Bukit Wawasan kemudian turun ikut laluan sini sebab tahu ada air terjun cantik. Kadang-kadang saya datang seorang tetapi hari ini ada kawan turut serta.
“Di sini tidak ramai orang dan airnya bersih tetapi kami tidak mandi, hanya nikmati kecantikan air terjun. Tidak tahu pulak sini kawasan larangan,” dakwanya.
Operasi diketuai Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPNS, Mohd. Shafie Mahamud itu, semua individu ditahan menggunakan laluan dari Bukit Wawasan untuk masuk ke HSK Ayer Itam yang diuruskan Universiti Putra Malaysia.
Lokasi itu dikenali kerana kebiruan air sungainya namun ia tidak dibuka kepada umum.
Kawasan hutan berkenaan mempunyai kepentingan tersendiri daripada segi pemeliharaan biodiversiti, sumber air dan keseimbangan ekosistem, selain perlu dilindungi daripada aktiviti manusia tanpa kebenaran.
Aktiviti rekreasi seperti mendaki, meredah hutan, mandi-manda di sungai dan air terjun serta meneroka laluan tersembunyi berpotensi mendedahkan pengunjung kepada keadaan muka bumi yang tidak menentu.
Risiko seperti kepala air, arus sungai deras, tanah licin, laluan sukar dan ketiadaan kemudahan komunikasi boleh mengundang kejadian tidak diingini, khususnya apabila pengunjung memasuki kawasan yang tidak dibuka untuk orang awam.
Pada masa sama, kehadiran pengunjung tanpa kawalan berpotensi menyebabkan pencemaran sungai, pembuangan sampah, kerosakan tumbuhan serta gangguan terhadap habitat hidupan liar.
237 DITAHAN CEROBOH HUTAN
Rekod Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menunjukkan seramai 237 individu ditahan di bawah Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1985 kerana memasuki HSK tanpa kebenaran sepanjang tahun ini.
Pengarah JPNS, Azhar Ahmad berkata, daripada jumlah itu, lelaki mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 124 orang atau 60 peratus, manakala perempuan seramai 83 orang bersamaan 40 peratus.
Katanya, berdasarkan pecahan umur, golongan berusia antara 18 hingga 39 tahun mendominasi tangkapan dengan 159 individu, diikuti 31 individu berusia 40 hingga 59 tahun.
Tambahnya, turut direkodkan ialah 11 individu dalam lingkungan umur remaja serta enam individu berusia 60 tahun ke atas, dengan pesalah tertua berumur 76 tahun.
“Pecahan itu menunjukkan aktiviti memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran melibatkan pelbagai peringkat umur, termasuk golongan warga emas.
“Daripada segi kewarganegaraan, seramai 196 individu yang ditahan merupakan rakyat Malaysia, manakala 11 lagi warga asing.
“Warga asing yang ditahan terdiri daripada tiga rakyat Singapura, masing-masing dua rakyat Tunisia dan Thailand serta seorang dari Perancis, Palestin, India dan Indonesia,” katanya.
LANGGAR UNDANG-UNDANG
Daripada sudut perundangan, Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1985 memperuntukkan kesalahan memasuki Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran yang sah.
Azhar berkata, individu ditahan kerana menceroboh HSK dengan memasuki hutan tanpa kebenaran boleh dikenakan hukuman sehingga RM30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, peruntukan undang-undang itu bertujuan mengawal kemasukan orang awam ke kawasan hutan simpan bagi memastikan kawasan berkenaan tidak diceroboh atau digunakan sewenang-wenangnya untuk aktiviti rekreasi.
Menurutnya, orang ramai perlu memahami bahawa HSK bukan kawasan rekreasi terbuka yang boleh dimasuki pada bila-bila masa tanpa kelulusan pihak berkuasa, meskipun kawasan berkenaan mempunyai tarikan alam semula jadi seperti air terjun dan laluan pendakian.
Katanya, tindakan segelintir ibu bapa membawa anak-anak memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran bukan sahaja mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan, malah memberikan contoh buruk kepada generasi muda apabila peraturan dan larangan pihak berkuasa seolah-olah tidak perlu dipatuhi.
ANCAM EKOSISTEM ALAM
Aktiviti rekreasi seperti mendaki dan berkhemah di kawasan hutan simpan kekal boleh menjejaskan ekosistem hutan termasuk menyebabkan hakisan tanah, gangguan habitat hidupan liar serta pencemaran sumber air jika tidak dikawal.
Pakar Governan Persekitaran, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, hutan simpan kekal mempunyai fungsi khusus yang perlu dilindungi termasuk sebagai kawasan tadahan air, perlindungan tanah dan habitat hidupan liar.
Katanya, penerokaan hutan yang sepatutnya dilindungi daripada gangguan manusia untuk tujuan rekreasi boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta menyebabkan kerosakan sukar dipulihkan.
“Hutan simpan kekal bukan sekadar kawasan hutan untuk dikunjungi orang ramai, sebaliknya mempunyai fungsi ekologi yang sangat penting kepada negara.
“Apabila kawasan ini dibuka kepada aktiviti rekreasi secara meluas, tekanan terhadap ekosistem akan meningkat, terutama dari segi pemadatan tanah, hakisan dan gangguan terhadap habitat hidupan liar,” katanya.
Menurutnya, aktiviti pendakian secara berterusan boleh memusnahkan lapisan tumbuhan penutup bumi yang berfungsi melindungi permukaan tanah daripada hakisan.
Beliau berkata, tekanan daripada tapak kaki pengunjung juga menyebabkan tanah menjadi semakin padat sehingga mengurangkan keupayaannya menyerap air hujan.
“Apabila tanah semakin padat, air hujan tidak dapat meresap dengan baik ke dalam tanah dan sebaliknya mengalir di permukaan.
“Keadaan ini boleh meningkatkan risiko hakisan, pembentukan alur hakisan serta kegagalan cerun, terutama di kawasan berbukit yang mempunyai struktur tanah lebih sensitif,” katanya.
Katanya, kerosakan terhadap struktur tanah turut memberi kesan kepada fungsi kawasan tadahan air apabila peningkatan larian air permukaan membawa kelodak dan sedimen ke sungai serta sumber air mentah.
Hal itu, katanya, berpotensi menjejaskan kualiti air dan meningkatkan kos rawatan air, selain mengganggu kestabilan bekalan air sekiranya kerosakan kawasan tadahan berlaku secara berterusan.
“Apabila fungsi ini terganggu, kesannya bukan hanya kepada kawasan hutan itu sendiri, tetapi turut dirasai masyarakat di kawasan hilir yang bergantung kepada sumber air tersebut,” katanya.
Selain itu, aktiviti rekreasi yang melibatkan jumlah pengunjung tinggi turut boleh menyebabkan pencemaran sisa pepejal, sisa makanan dan kumbahan manusia, khususnya di kawasan perkhemahan serta berhampiran anak sungai.
Menurutnya, pencemaran itu bukan sahaja menjejaskan kebersihan kawasan hutan, malah boleh mengubah kandungan nutrien tanah dan menjejaskan hidupan akuatik yang sensitif terhadap perubahan kualiti air.
“Walaupun aktiviti seperti mendaki dan berkhemah dianggap rekreasi berimpak rendah, kesannya boleh menjadi besar apabila dilakukan secara berulang oleh ramai pengunjung tanpa mengambil kira daya tampung kawasan.
“Kerosakan boleh berlaku secara beransur-ansur mungkin tidak dapat dilihat dalam tempoh singkat, tetapi apabila fungsi ekosistem terjejas, proses pemulihannya boleh mengambil masa sangat panjang,” katanya.
Katanya, aktiviti rekreasi seharusnya hanya dibenarkan di kawasan yang telah dikenal pasti dan dilengkapi dengan sistem pengurusan serta pemantauan alam sekitar.-UTUSAN











