KUALA LUMPUR: Mana-mana Hutan Simpan Kekal (HSK) yang ingin dibangunkan perlu digantikan secara serentak dengan tanah hutan milik kerajaan.
Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia merupakan sebahagian daripada Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 atau dikenali sebagai Akta A1667.
“Kita (kerajaan) bagi kelulusan untuk dia (kerajaan negeri) gunakan hutan simpan kekal untuk buat pembangunan, bila dia mahu ganti, dia kena ganti serentak. Dia (kerajaan negeri) tak boleh (ambil) dulu (tanah hutan simpan kekal).
“Dulu sebelum ada akta mewartakan (Akta Perhutanan Negara A1667) ini, dia pakai hutan simpan kekal, kemudian dia (hanya) berjanji hendak bagi (tanah ganti), sekarang tak boleh.
“Kalau dia mahu keluar (ambil) 2,000 hektar, dia kena ganti dengan tanah yang (lain), dia perlu wartakan sekali,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pada sesi soal jawab lisan di Parlimen, hari ini.
Johari berkata, kerajaan memberi insentif kewangan menerusi Pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) kepada kerajaan negeri.
“Setiap tahun kita akan bagi duit kepada kerajaan negeri yang menyahkanwartakan hutan dan menjaga hutan yang tidak digunapakai untuk tujuan lain. Contohnya setakat ini, EFT jumlahnya RM800 juta. Tahun ini saja kita sudah bagi RM250 juta,” katanya.
Terdahulu, menjawab soalan asal Chong Zhemin (PH-Kampar), Johari berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan Perak, jumlah pewartaan keluar hutan simpan kekal di negeri itu pada 2018 hingga 2024 adalah sebanyak 13,402 hektar.
“Pewartaan keluar ini membabitkan pembukaan kawasan untuk tujuan pertanian dan penempatan Orang Asli, pembinaan lebuh raya, pembinaan utiliti lain seperti di kawasan jana kuasa.
“Namun begitu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan Perak secara aktif giat melaksanakan pewartaan semula bagi menggantikan kawasan yang sudah dinyahwarta,” katanya.
Katanya, sehingga tahun lalu juga, jumlah kawasan hutan simpan kekal yang sudah diwartakan semula di Perak adalah sebanyak 6,249 hektar. – UTUSAN










