RAMALLAH: Kira-kira 350 kanak-kanak Palestin kini ditahan di penjara Israel dan berdepan penyeksaan, kebuluran serta dinafikan akses kepada rawatan perubatan, pendidikan dan lawatan keluarga, menurut dua kumpulan tahanan Palestin.
Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin serta Persatuan Tahanan Palestin mengeluarkan kenyataan bersama sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut pada 20 November setiap tahun.
Lebih 2,000 kes penahanan kanak-kanak direkodkan di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, sejak Israel melancarkan perang genosid di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, menurut kenyataan itu.
Puluhan kanak-kanak dari Gaza turut ditahan sepanjang perang berkenaan, namun tindakan ‘menghilangkan’ mereka secara paksa serta sekatan terhadap lawatan menyukarkan usaha mengenal pasti jumlah sebenar, lokasi dan keadaan penahanan mereka.
Menurut kenyataan itu, tentera Israel menahan kanak-kanak di Tebing Barat yang diduduki menerusi serbuan ke rumah, di pusat pemeriksaan tentera, di jalanan serta di dalam atau berhampiran kawasan sekolah.
Puluhan kanak-kanak Palestin turut ditahan tanpa pertuduhan menerusi perintah penahanan pentadbiran, kata kumpulan itu. Mereka menambah, perintah berkenaan yang berulang kali dilanjutkan menafikan hak kanak-kanak terbabit untuk membela diri dan menyebabkan mereka berdepan tempoh penahanan yang tidak menentu.
Menurut kenyataan itu, ada kanak-kanak yang digari dan dipukul sebaik sahaja ditahan, sebelum disoal siasat selama berjam-jam tanpa kehadiran peguam atau ahli keluarga, selain dinafikan tidur dan rehat yang mencukupi.
“Kanak-kanak ditahan di dalam bilik yang sesak, tidak mempunyai pengudaraan dan kemudahan kesihatan mencukupi, selain dinafikan rawatan perubatan, pendidikan serta lawatan keluarga,” menurut kenyataan itu.
Penyakit kulit, termasuk kudis buta dilaporkan merebak dalam kalangan tahanan akibat kesesakan dan kekurangan bekalan kebersihan. Pada masa sama, rawatan perubatan ditangguhkan dan ubat-ubatan yang bersesuaian tidak diberikan.
Kedua-dua kumpulan itu turut mendakwa kanak-kanak berkenaan mengalami kebuluran sehingga menjejaskan kesihatan dan keadaan fizikal mereka dengan serius.
Mereka turut membangkitkan kes kematian seorang kanak-kanak dari Silwad, timur Ramallah, Walid Khaled Ahmad yang meninggal dunia di Penjara Megiddo, Israel pada Mac 2025.
Kedua-dua kumpulan itu berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami susut berat badan yang teruk serta kehilangan jisim otot dan lemak badan. Kebuluran dan dehidrasi dikenal pasti sebagai antara punca kematiannya.
Siasatan terhadap kematian mangsa ditutup tanpa sebarang pihak dipertanggungjawabkan, menurut kenyataan itu. Pihak berkuasa Israel juga memulangkan jenazahnya yang dibekukan kepada keluarga selepas menahannya selama lebih setahun.
Kedua-dua kumpulan itu mengkritik tindakan Israel yang menurut mereka terus terlepas daripada hukuman, selain kegagalan masyarakat antarabangsa melindungi kanak-kanak Palestin.
Mereka menggesa supaya penahanan pentadbiran terhadap kanak-kanak dihentikan, semua kanak-kanak yang ditahan dibebaskan dan pihak yang bertanggungjawab terhadap penyeksaan, kebuluran serta penahanan rahsia dikenakan tindakan.
Mereka menegaskan melindungi kanak-kanak Palestin merupakan tanggungjawab antarabangsa, sambil memberi amaran pelanggaran berterusan tanpa tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab mengancam keseluruhan sistem hak kanak-kanak.
Kira-kira 9,350 rakyat Palestin kini ditahan di penjara Israel, termasuk sekitar 350 kanak-kanak dan 90 wanita, menurut organisasi hak asasi Palestin dan Israel.
Kumpulan hak asasi berkata, tahanan berdepan penyeksaan, kebuluran dan pengabaian perubatan, dengan puluhan orang dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan Israel.
Pelanggaran terhadap tahanan Palestin semakin meningkat sejak Oktober 2023, ketika Israel melancarkan perang genosid di Gaza yang mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,000 yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.-AGENSI











