PAPAR: Pelaksanaan skim kawalan harga barang keperluan sepanjang musim monsun bergantung kepada keadaan semasa dengan keutamaan diberikan dalam memastikan bekalan barangan asas disalurkan kepada penduduk berdepan kesukaran ketika bencana.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, skim berkenaan tidak semestinya menjadi keutamaan ketika musim monsun kerana sesetengah kawasan lebih memerlukan jaminan bekalan barangan keperluan berikutan kekangan untuk mendapatkan barangan ketika bencana.
“Kadang-kadang musim monsun pun bukanlah isu barangan harga. Ada kawasan monsun pun mereka tidak boleh membeli pun. Apa yang penting pada masa itu adalah keutamaan untuk menyampaikan bekalan.
“Jadi kita lihat pada keadaan dan ada ketikanya apabila pasca banjir, yang kita buat adalah Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) pasca bencana,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana: Radio Amatur Sebagai Komunikasi Alternatif Peringkat Negeri Sabah 2026 di sini hari ini.
Armizan berkata, pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan dilaksanakan secara berterusan menerusi Jawatankuasa Penstabilan atau Pemantauan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Rakyat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, jawatankuasa itu bermesyuarat setiap dua bulan dengan penyertaan pelbagai agensi serta kementerian berkaitan bagi meneliti isu bekalan, termasuk gangguan akibat bencana.
Menurutnya, persediaan kerajaan bukan hanya bersifat reaktif selepas bencana berlaku, sebaliknya turut mengambil kira ramalan awal dan langkah pencegahan bagi memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi.
“Dari segi jangkaan ramalan awal contohnya Kementerian Pertanian akan memastikan bekalan yang mencukupi, begitu juga dalam konteks KPDN, kita mengenal pasti pengurangan risiko Bencana dan pemborong terpilih daerah di kawasan mempunyai risiko banjir tinggi,” katanya.
Beliau berkata, KPDN turut bersedia mengaktifkan kerjasama dengan kedai runcit, peruncit dan pemborong di kawasan berisiko bagi membolehkan mereka menyimpan stok tambahan barangan kawalan sebagai persediaan menghadapi bencana.
Katanya, langkah itu akan diaktifkan apabila berlaku bencana di mana-mana kawasan bagi memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi.
Selain bantuan kerajaan dalam bentuk tunai dan pembaikan rumah, katanya, program jualan murah turut dilaksanakan di kawasan terjejas bagi membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk selepas bencana. – UTUSAN











