Mahasiswa, ibu bapa taruh harapan untuk Belanjawan Perak 2027 - Utusan Malaysia

Mahasiswa, ibu bapa taruh harapan untuk Belanjawan Perak 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: ‘Miskin kampus’ merujuk kepada situasi kewangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) yang berdepan kesempitan wang bagi menampung kos sara hidup harian sepanjang tempoh pengajian.

Istilah itu mula disebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi menggambarkan bahawa golongan pelajar juga tidak terlepas daripada tekanan peningkatan kos barangan.

Perkara itu mendapat perhatian Kerajaan Negeri Perak diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sejak beberapa tahun lalu yang telah memperkenalkan pelbagai bantuan secara langsung dan tidak langsung kepada mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bantuan sedemikian tidak mengecualikan murid dan pelajar sekolah, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah, yang turut menerima pelbagai manfaat menerusi program kerajaan negeri.

Presiden Mahasiswa Darul Ridzuan, Yus Haikal Yusuf berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan pelbagai inisiatif bantuan mahasiswa yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan pelajar.

YUS HAIKAL YUSUF

Dia menyambut baik usaha kerajaan negeri menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk Insentif Siswa, Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa serta Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak yang turut memberikan manfaat kepada dirinya.

Yus Haikal berharap agar inisiatif berkenaan dapat diperluaskan dari semasa ke semasa termasuk mempertimbangkan peningkatan kadar bantuan serta memperluas peluang permohonan supaya lebih ramai mahasiswa yang memerlukan dapat menikmati manfaat tersebut.

“Mahasiswa juga tidak terlepas daripada berdepan dengan tekanan peningkatan kos sara hidup. Bantuan yang disediakan dapat meringankan beban kewangan kami. Namun, masih ramai yang memerlukan sokongan sedemikian dan berharap lebih ramai diberikan peluang untuk menerima manfaatnya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Jelasnya, segala pemberian itu penting dalam membantu mahasiswa mengimbangi kos keperluan lain seperti perbelanjaan sewa rumah, bahan api kenderaan serta keperluan harian yang semakin meningkat.

WAN ATIQAH MOHD. SUDDIN

Wan Atiqah Mohd. Suddin, 20, pula berharap lebih banyak bantuan kewangan dapat disalurkan kepada mahasiswa, khususnya bantuan yuran pengajian dan elaun sara hidup.

“Kos pengajian kini agak membebankan, lebih-lebih lagi bagi pelajar yang perlu menanggung sendiri yuran pengajian. Saya sendiri membiayai yuran pengajian 100 peratus menggunakan duit hasil kerja sendiri.

“Pada masa yang sama, saya juga perlu memikirkan kos makan, pengangkutan dan keperluan harian,” kata pelajar jurusan kaunseling di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu.

Menurutnya, ramai mahasiswa yang tidak menerima sebarang tajaan atau pinjaman pendidikan perlu melakukan kerja sambilan sehingga ke larut malam.

“Saya cadangkan bantuan yang mahu diumumkan juga tertumpu kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan sederhana ekoran pelbagai cabaran kos sara hidup masa kini,” ujarnya.

Terbaharu, pada Oktober lalu, Saarani melancarkan Program Mahasiswa Perak Sejahtera (MPS) 2030 yang berbentuk bantuan makanan sebanyak RM200 sebulan kepada 1,000 pelajar daripada lima IPT di negeri ini.

Sementara itu, harapan tinggi turut dizahirkan golongan ibu bapa yang menanggung anak-anak bersekolah atau yang masih menuntut.

NURISYA UDA

Ibu kepada tiga anak, Nurisya Uda, 44, berkata, kos pendidikan kini amat mencabar terutamanya untuk memenuhi pelbagai keperluan bagi membolehkan anak-anak mendapat akses pembelajaran terbaik.

“Bukan sahaja yuran atau kelengkapan awal tahun, malah kos harian seperti belanja sekolah, tambang bas dan kelas tambahan juga semakin meningkat.Kami khuatir kekangan kos ini menyukarkan mereka untuk mendapat pendidikan terbaik,” katanya.

Ketiga-tiga mereka menaruh harapan tinggi menerusi Belanjawan Negeri Perak 2027 yang akan dibentangkan oleh Saarani pada 24 November iaitu bersamaan Selasa ini, agar perhatian sewajarnya diberikan daripada aspek bantuan pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini