PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan intipan selama 11 bulan terhadap aktiviti penyeludupan dadah melibatkan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebelum diberkas baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, intipan dilakukan sejak Januari lalu sebelum PDRM menjalankan kerjasama dengan TUDM selepas maklumat diperoleh semakin meyakinkan.
Katanya, kerjasama dengan TUDM diperlukan memandangkan aktiviti penyeludupan itu melibatkan premis di bawah kendaliannya.
“Intipan dilakukan sejak Januari tahun ini, maknanya hampir setahun. Ia berterusan sehinggalah pada Julai (apabila) hasil intipan semakin meyakinkan dan PDRM bekerjasama dengan TUDM.
“Melalui bantuan daripada pihak TUDM kerana ini melibatkan premis mereka, maka pada hari yang berkenaan satu tangkapan dibuat oleh TUDM kerana pemeriksaan bagasi dan sebagainya itu dilakukan oleh pihaknya.
“Mereka memaklumkan kepada pihak PDRM bahawa beberapa (pemeriksaan) bagasi mengesahkan penemuan dadah berkenaan. Jadi polis dimaklumkan dan tangkapan hanya dibuat. Melalui tangkapan ini siasatan awal membawa kepada beberapa penangkapan lain,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, semua suspek masih direman dan siasatan PDRM turut melibatkan kemungkinan aktiviti penyeludupan dadah itu ada kaitan dengan sindiket dadah tempatan atau antarabangsa.
Katanya, polis juga akan melakukan siasatan menyeluruh termasuk sekiranya aktiviti itu mendapat sokongan daripada sindiket lain di belakangnya.
“Saya cuma sebut kalau dari segi jumlah tangkapan, itu bukan seorang. Ada orang awam, ada pasukan unit beruniform, tentera. Jadi kalau jumlahnya (tangkapan) itu plural (ramai), lebih daripada satu, tentulah ada kemungkinan.
“Cuma saya tak boleh sahkan lagi biar polis siasat, apakah ada sindiket di belakangnya. Semua itu adalah fokus siasatan,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan yang akan dibuat oleh PDRM melibatkan aktiviti penyeludupan tersebut.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan penglibatan pegawai TUDM, termasuk juruterbang terbabit kes penyeludupan dadah membabitkan jumlah yang besar.
Beliau menyifatkan kes itu sebagai amat membimbangkan, sekali gus memberi amaran bahawa tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang terbabit tanpa mengira pangkat.
Berikutan itu, pada Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, lima pegawai TUDM ialah antara 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan, kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah dengan menggunakan aset TUDM.
Setakat ini, seramai 11 individu termasuk enam orang awam diberkas susulan penemuan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM4.83 juta.
Saifuddin Nasution berkata, beliau percaya sindiket dadah mengubah taktik penyeludupan mereka, susulan peningkatan pemeriksaan dan tahap keselamatan di pintu masuk utama negara termasuk lapangan terbang.
Katanya, tahap keselamatan di pintu masuk negara dipertingkatkan susulan penahanan seorang juruterbang tempatan yang dikesan menyeludup dadah ke Indonesia beberapa bulan lalu.
“Antara inisiatif kita buat adalah pemeriksaan 100 peratus terhadap destinasi-destinasi yang kita anggap sebagai popular sebagai destinasi penyeludup. Jadi tentunya ini akan bagi kesan kepada sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan.
“Jadi sedikit sebanyak mereka terpaksa memilih mod pengedaran lain. Mereka pilih melalui pelabuhan dan kaedah-kaedah lain,” katanya. – UTUSAN











