“PENGORBANAN terbesar bagi saya ialah masa kerana masa yang sudah berlalu tidak boleh digantikan.”
Di sebalik kejayaan pemain hoki Perak, Aiman Safwan Abdullah meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, tersimpan kisah pengorbanan yang tidak semuanya dapat dilihat di atas padang, termasuk kehilangan insan tersayang ketika mengejar impian sebagai atlet.
Atlet kelahiran Bagan Serai, Perak itu mula mengenali sukan hoki ketika berusia sembilan tahun selepas berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Matang Buluh dan pada awalnya, dia sekadar mengikut rakan-rakan bermain pada waktu petang sebelum bakatnya mula disedari jurulatih sekolah.
“Pada mulanya, saya sekadar mengikut kawan-kawan bermain hoki di sekolah rendah pada waktu petang. Daripada aktiviti bermain bersama rakan-rakan itu, jurulatih sekolah mula menyedari bakat saya dalam sukan hoki,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Daripada sekadar mengisi masa lapang, hoki akhirnya menjadi sebahagian besar kehidupannya apabila sukan itu membuka peluang mendapatkan biasiswa dan melanjutkan pelajaran ke sekolah lebih baik.
Namun, perjalanan sebagai atlet bukan sentiasa mudah apabila atlet berusia 23 tahun itu terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga dan rakan-rakan demi memenuhi komitmen latihan serta kejohanan.
“Ketika orang lain menggunakan masa cuti untuk pulang ke rumah, meluangkan masa bersama keluarga atau keluar bersama rakan, saya pula perlu menjalani latihan dan menyertai perlawanan.
“Kalau ada peluang pulang ke rumah sekalipun, biasanya hanya sehari dua sebelum perlu kembali menjalani latihan,” katanya.
Lebih menyentuh perasaan, perjalanan mengejar impian dalam hoki turut menyaksikan Aiman berdepan kehilangan arwah bapanya ketika persiapan menghadapi SUKMA 2022 di Kuala Lumpur bersama pasukan Kedah.
Ketika itu, bapanya sedang sakit, manakala adiknya masih kecil dan memerlukan perhatian keluarga. Aiman berdepan dilema sama ada mahu meneruskan penyertaan dalam kejohanan atau berada di sisi bapanya.
“Arwah ayah juga pernah bertanya sama ada saya benar-benar mahu meneruskan hoki ketika beliau sedang sakit.
“Namun, saya tetap meneruskan penyertaan kerana SUKMA merupakan sasaran yang sudah lama saya impikan,” katanya.
Selepas menjalani kem latihan dan kejohanan selama dua minggu, Aiman pulang ke rumah sebelum mendapati keadaan bapanya semakin tenat. Dia kemudian membawa bapanya ke klinik sebelum diminta menghantarnya ke hospital.
Pada petang hari yang sama, pihak hospital menghubunginya untuk memaklumkan bahawa bapanya sudah meninggal dunia.
“Berita itu sangat memberi kesan kepada emosi dan mental saya sehingga saya merasakan dunia seakan-akan kosong.
“Itulah antara pengorbanan paling berat kerana saya tidak dapat berada di sisi ayah ketika beliau sedang sakit,” katanya.

Selepas pemergian bapanya, seorang guru yang rapat dengannya, Cikgu Akin Husaini, menjadi antara individu penting yang terus memberikan sokongan dan semangat, selain membantu merancang hala tuju pendidikan serta sasaran masa depannya.
“Cikgu Akin banyak memberikan sokongan dan kata-kata semangat selepas ketiadaan arwah ayah. Beliau juga sering berbincang dengan saya mengenai perancangan masa depan, termasuk sasaran untuk tempoh dua hingga lima tahun akan datang,” katanya.
Selain itu, adik-beradik arwah bapanya turut membantu dari segi kewangan, tempat tinggal dan keperluan lain sepanjang perjalanan Aiman sebagai atlet.
Sokongan keluarga dan individu terdekat menjadi antara kekuatan untuknya meneruskan perjuangan sehingga berjaya membantu pasukan hoki Perak meraih emas SUKMA Sarawak 2024.
Persiapan pasukan bermula kira-kira dua tahun sebelum kejohanan dengan kebanyakan pemain sudah mengenali antara satu sama lain selepas pernah bermain bersama sejak Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat.
“Hubungan dan keserasian antara pemain sudah lama terbina. Kami tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri sebagai satu pasukan kerana sudah memahami corak permainan masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanan menuju kemenangan bukan mudah apabila pasukan turut berdepan tekanan, termasuk kecaman dan kata-kata negatif daripada orang sekeliling.
“Namun, kami menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangat untuk membuktikan kemampuan pasukan,” katanya.
Di luar komitmen sebagai atlet, Aiman turut menjalani kehidupan sebagai mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Pendidikan Sukan dan Rekreasi, sekali gus perlu membahagikan masa antara kuliah, tugasan akademik dan latihan.
Sepanjang empat tahun pengajian, dia pernah berulang-alik dari Bangi ke Ipoh hampir setiap minggu bagi menjalani latihan pusat untuk SUKMA 2024, selain menetap di Pulau Pinang lebih sebulan untuk persiapan Liga Hoki Malaysia.
Kini, ketika berada di tahun akhir pengajian, dia turut perlu menyiapkan tesis sambil memenuhi komitmen kejohanan.
“Cara saya mengatasinya adalah dengan membuat perancangan lebih awal. Jika mengetahui akan menyertai kejohanan dalam masa terdekat, saya akan cuba menyiapkan tugasan lebih awal sebelum memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan pertandingan.
“Saya selalu berpegang kepada satu prinsip, iaitu kita mungkin tidak mampu mengawal kesibukan jadual, tetapi kita boleh mengawal bagaimana menggunakan masa yang ada,” katanya.

Apabila tidak menjalani latihan, dia lebih mengutamakan pemulihan badan dan tidur mencukupi bagi memastikan kecergasan serta prestasi kekal terjaga.
Selepas menamatkan pengajian, Aiman berhasrat menceburi bidang perguruan, khususnya Pendidikan Jasmani, selain terbuka kepada peluang menjadi jurulatih atau pegawai sukan.
“Saya mempunyai impian untuk menyumbang semula kepada bidang sukan, khususnya dalam pembangunan atlet muda dan pendidikan sukan.
“Saya percaya pengalaman sebagai atlet, ditambah dengan ilmu yang dipelajari di universiti, boleh menjadi kelebihan untuk membantu membangunkan generasi atlet akan datang,” katanya.
Bagi Aiman, kejayaan bukan sekadar diukur melalui pingat yang diraih, sebaliknya turut dinilai berdasarkan pengorbanan, ketabahan dan ilmu yang dikumpul sepanjang perjalanan sebagai atlet. – UTUSAN











