Empat pelumba ke Valencia, peminat kecewa hanya seorang

Empat pelumba ke Valencia, peminat kecewa hanya seorang terima sumbangan PMX

EMPAT pelumba bakal beraksi di FIM MotoMini World Final 2026 di Valencia, Sepanyol.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keputusan memberikan sumbangan kepada hanya seorang daripada empat pelumba muda negara yang bakal beraksi di FIM MotoMini World Final 2026 di Valencia, Sepanyol menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan sebahagian peminat sukan permotoran tanah air.

Peminat dari Selangor, Jamil Johar berkata, dia menghormati dan bersyukur atas bantuan diterima oleh Muhammad Qaish Isyraf Mohd. Qayyum, namun berharap perhatian yang sama turut diberikan kepada tiga lagi wakil negara.

“Kita tidak mempertikaikan rezeki yang diperoleh Qaish kerana dia sememangnya layak menerima penghargaan atas pencapaiannya. Namun, sebagai peminat yang mengikuti perkembangan pelumba-pelumba muda negara, saya merasakan lebih adil jika keempat-empat pelumba yang layak ke Valencia menerima sumbangan yang sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka semua berjuang dan berkorban masa serta tenaga untuk mengharumkan nama Malaysia. Sudah tentu bantuan kepada kesemua pelumba akan membangkitkan lagi semangat mereka untuk memberikan persembahan terbaik di pentas dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi peminat sukan dua roda dari Terengganu, Mariana Deraman turut melahirkan rasa kecewa terhadap situasi berkenaan kerana berpendapat semua wakil negara seharusnya mendapat sokongan sewajarnya.

Menurutnya, kejayaan melayakkan diri ke kejohanan dunia bukanlah sesuatu yang mudah dan setiap pelumba berdepan cabaran tersendiri dalam usaha merealisasikan impian tersebut.

“Saya mengikuti perkembangan pelumba-pelumba dari Pahang sejak sekian lama dan berasa bangga apabila empat anak Malaysia berjaya layak ke Valencia. Sebab itu saya agak kecewa apabila hanya seorang yang menerima sumbangan sedangkan tiga lagi pelumba turut membawa cabaran negara.

“Jika bantuan dapat diberikan kepada semua, ia bukan sahaja membantu dari segi kewangan tetapi turut menunjukkan bahawa setiap wakil negara dihargai tanpa mengira kategori atau latar belakang mereka,” katanya.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan RM10,000 kepada pelumba muda dari Indera Mahkota, Kuantan, Muhammad Qaish Isyraf Mohd. Qayyum, bagi membantu penyertaannya dalam FIM MotoMini World Final Series di Valencia.

Selain Qaish, tiga lagi pelumba yang akan mewakili Malaysia ke kejohanan itu ialah Qasha Irfan Azlan, Ahmad Malek Ridha Mohamad Nazrun dan Muhammad Al-Adam Mikail Mohd. Hamirul Aliff selepas berjaya melayakkan diri menerusi kutipan mata keseluruhan sepanjang saingan MotoMini Malaysia 2026.

Kejohanan itu dijadual berlangsung di Valencia, Sepanyol dari 22 hingga 26 November ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini