“JUBAH konvo pun dah RM300. Anak saya belum dapat kerja lagi. Bayangkan, kalau ibu bapa tak berduit. Datang pula dari jauh, mana nak cari duit minyak, duit homestay dan duit makan lagi, memang tak pergilah konvokesyen anak.”
Itu luahan seorang rakan dalam grup WhatsApp saya baru-baru ini.
“Awat mahai terlajak? Dulu kami pi sewa jubah tu murah ja pun. Bukannya dapat teruih kat kita!”
Tanya seorang lagi kawan saya, seorang guru di Alor Setar, Kedah yang berkira-kira mahu mengambil pencen awal.
Dalam grup WhatsApp itu juga, masing-masing mula bertanya, sama ada anak-anak sudah dapat kerja atau belum.
Rata-rata memberitahu, anak mereka memang sudah bekerja. Tapi kerjanya di kedai serbaneka sebagai juruwang, pembantu kedai, atau di cafe kopi sebagai barista – semuanya di luar kelayakan akademik dan bidang yang dipelajari bertahun-tahun.
Gaji? Ramai yang kata tidak sampai RM2,000 pun. Tapi ‘rembat’ sajalah dulu, daripada ‘melangut’ saja tak berduit di rumah.
Inilah realiti sebenar musim konvokesyen kita hari ini. Di media sosial, memang nampak meriah. Gambar anak-anak muda cantik dan segak berjubah dan memegang jambangan bunga besar-besar. Bersyukur akhirnya tamat pengajian. Tetapi apabila jubah konvo dipulangkan semula, kembalilah ke realiti kehidupan, ramai yang berhempas pulas mencari kerja.
Laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kadar pengangguran negara kita berada pada paras yang cukup rendah, sekitar 3.0 peratus sahaja, melibatkan lebih kurang 513,700 orang pada suku ketiga tahun 2026 ini. Malah, setiap tahun universiti dan kolej kita berjaya melahirkan kira-kira 300,000 graduan baharu.
Nampak macam semua orang ada kerja, bukan? Hakikatnya, di sebalik angka pengangguran yang rendah itu, wujud satu masalah besar yang dipanggil guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran. Bahasa mudahnya, kerja tidak padan langsung dengan kelulusan.
Statistik DOSM mendedahkan bahawa hampir 1.96 juta pemegang ijazah dan diploma di negara ini iaitu lebih kurang 35 peratus terpaksa bekerja dalam sektor separuh mahir dan berkemahiran rendah.
Ada ijazah perakaunan, tapi jadi pembantu jualan kedai baju. Belajar penat-penat bidang sains, tapi akhirnya membancuh kopi di kafe hipster atau menghantar makanan ke hulu ke hilir.
Kenapa jadi macam ini? Jawapannya, kita ‘kilangkan’ kira-kira 300,000 graduan setiap tahun, tetapi pasaran kerja kita cuma mampu sediakan sekitar 50,000 sahaja jawatan berkemahiran tinggi.
Habis itu, baki lagi 250,000 orang ke mana mereka? Nak tak nak, terpaksalah mereka berebut kerja yang sebenarnya tidak memerlukan kelulusan universiti pun.
Itu belum masuk bab gaji yang masih lagi di takuk lama. Macam tidak masuk akal apabila ada majikan di bandar besar menawarkan gaji RM1,800 hingga RM2,000 kepada pemegang ijazah.
Dengan harga bilik sewa yang makin mengarut, kos minyak atau pengangkutan awam, makan minum lagi, memang selalulah meminta bantuan ibu bapa lagi.
Dalam keadaan gaji serendah itulah, dapat pula notis bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Bukan mereka sengaja mahu culas atau liat membayar hutang, tetapi realitinya duit gaji yang ada pun terpaksa dicatu untuk mengharung hidup di bandar.
Maka tidak hairanlah apabila jumlah tunggakan bayaran balik PTPTN dilaporkan mencecah RM10.7 bilion melibatkan lebih 1.16 juta peminjam.
Apabila graduan terperangkap dalam ‘penalti gaji’ kerana bekerja di luar bidang dengan pendapatan hampir separuh lebih rendah, hutang pengajian yang sepatutnya menjadi pelaburan masa depan bertukar menjadi bebanan sejak hari pertama melangkah keluar dari kampus.
Ironinya, ketika graduan aliran akademik konvensional bertarung mencari kerja, rakan-rakan mereka dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pula lebih awal disambar industri.
Data semasa menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan TVET mencecah antara 95.9 hingga 99 peratus kerana kemahiran praktikal mereka memang menepati kehendak pasaran semasa.
Namun, persepsi segelintir masyarakat kita masih lagi meletakkan laluan kemahiran ini sebagai ‘pilihan kedua’ berbanding segulung ijazah sarjana muda.
Kita tidak boleh terus membiarkan anak muda ini terkontang-kanting mencari pekerjaan yang sekadar tangkap muat. Kalau kita tengok cara negara luar, banyak benda yang kita boleh dicontohi.
Di Jerman dan Switzerland, orang tidak pandang pelik pada latihan kemahiran atau vokasional. Sistem pendidikan mereka dipanggil dwi-laluan (dual-track). Pelajar tidak terpuruk dalam dewan kuliah semata-mata.
Sejak awal pengajian lagi, mereka sudah masuk ke kilang dan syarikat besar, belajar buat kerja sebenar sambil dibayar elaun. Habis sahaja belajar, syarikat itu terus serap mereka sebagai pekerja tetap dengan gaji yang memang setimpal dengan kemahiran.
Di negara jiran, Singapura, mereka pantas mengemaskini silibus universiti ikut kehendak semasa seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau.
Kalau ada graduan yang susah dapat kerja, kerajaan mereka cepat-cepat sediakan program latihan semula (reskilling) bersubsidi supaya anak muda mereka tak tersangkut lama dalam kerja-kerja bergaji rendah.
Di Malaysia ini, sudah tiba masanya kita berhenti bercakap benda yang sama setiap kali musim konvokesyen tiba. Sudah dapat kerja? Kenapa masih tak dapat kerja? Susah sangat dapat kerja ikut kelayakan.
Pertama, pihak universiti dan pemain industri kena berbincang. Kursus-kursus lama yang sudah tepu dan tiada permintaan pasaran itu, beranilah untuk ditutup atau dirombak. Panjangkan tempoh latihan industri dan wajibkan majikan bayar elaun yang munasabah supaya graduan keluar nanti sudah ada pengalaman kerja sebenar.
Kedua, kerajaan perlu lebih agresif menarik pelaburan berteknologi tinggi yang memang perlukan tenaga kerja mahir tempatan, di samping memperkasa lagi ekosistem TVET supaya menjadi laluan utama yang dipandang tinggi. Janganlah asyik bergantung kepada industri yang mahu untung cepat guna buruh murah sahaja.
Pada masa sama, berilah potongan cukai khas kepada syarikat tempatan yang sanggup membayar gaji bermaruah kepada graduan baharu, selain menawarkan insentif penstrukturan semula bayaran PTPTN yang lebih fleksibel mengikut tangga gaji sebenar.
Ketiga, untuk adik-adik yang baru turun dari pentas konvo dan sekarang sedang menyarung apron kafe atau menjaga kaunter kedai 24 jam, jangan sesekali rasa malu. Kerja itu halal, malah ia melatih mental kamu jadi lebih kental berdepan dengan kerenah manusia.
Tapi ingat, jangan selesa sangat sampai lupa tujuan asal. Gunakan waktu terluang untuk menambah kemahiran digital atau pensijilan kemahiran TVET jangka pendek, perbaiki cara berkomunikasi, dan rajin-rajinlah bina rangkaian kenalan.
Ibu bapa di kampung sanggup bergolok-gadai dan mengikat perut menghantar anak ke menara gading bukanlah semata-mata mahu menggantung bingkai gambar konvokesyen di dinding ruang tamu.
Mereka mahu melihat segulung ijazah itu mengeluarkan anak-anak mereka daripada kepompong kesusahan, bukannya mewariskan kemiskinan baharu dalam bentuk hutang pengajian yang menimbun dan gaji cukup-cukup makan.
Segulung ijazah sepatutnya menjadi kunci untuk membuka pintu masa depan yang lebih cerah bukannya sekadar sijil mahal yang hanya laku untuk memohon kerja yang tidak memerlukan kelulusan universiti pun!
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.











