Jajaran biru dan strategi tanpa penjuru ubah peta politik selatan - Utusan Malaysia

Jajaran biru dan strategi tanpa penjuru ubah peta politik selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemenangan besar gabungan tidak rasmi dan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) dalam siri pilihan raya negeri (PRN) di Johor, Negeri Sembilan dan terbaharu di Melaka menandakan satu anjakan paradigma dalam geopolitik Malaysia.

Fenomena yang digelar sebagai pakatan pilihan raya permuafakatan secara taktikalnya terbukti berjaya memintas perpecahan undi Melayu sekali gus meruntuhkan dominasi Pakatan Harapan (PH) di kubu-kubu tradisi selatan tanah air.

Strategi asas yang digerakkan dalam ketiga-tiga PRN di selatan berdasarkan formula mengelakkan pertandingan tiga penjuru di kerusi majoriti pengundi Melayu. Jadi, strategi pakatan tidak menceroboh (non-aggression pact) membuatkan BN-UMNO mengosongkan kerusi-kerusi yang sukar dimenangi dengan memberi laluan kepada calon PN.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, PN bertindak balas dengan tidak meletakkan calon di kubu tradisi UMNO. Mobilisasi jentera secara timbal balik di mana kepimpinan BN-UMNO menyeru penyokongnya mengundi calon PN di kawasan yang tidak ditandinginya, dan PN melakukan perkara serupa telah mencipta gelombang penyatuan undi teras.

Impak taktikal ini bersifat zero-sum game terhadap PH. Tanpa pecahan undi Melayu yang menjadi talian hayat kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), gabungan itu kini terperangkap di kawasan bandar dan kerusi majoriti bukan Melayu yang didominasi DAP.

Di Johor, walaupun PN tidak memenangi kerusi daripada 33 kawasan yang ditandinginya, pemindahan undi penyokong PN di kerusi-kerusi kritikal membolehkan BN menyapu bersih 48 kerusi.

Di Negeri Sembilan, kejayaan BN-PN memenangi 25 kerusi mengakhiri penguasaan dua penggal PH. Di Melaka, pemeteraian manifesto bersama secara rasmi membuahkan hasil apabila gabungan itu meraih 24 kerusi, menyaksikan tokoh utama PH seperti Adly Zahari turut tumbang di Bukit Katil.

Kejayaan di selatan menghidupkan semula naratif kebangkitan Muafakat Nasional (MN) dalam kalangan penyokong akar umbi UMNO dan Pas. Secara teorinya, penggabungan kekuatan jentera kedua-dua parti Melayu terbesar ini berupaya melebarkan blok negeri pentadbiran State Government 4 (SG4 -Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) menjadi SG7 dengan penambahan Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Bagaimanapun, pemerhatian kritis mendapati formula SG7 ini berdepan halangan struktur yang rumit. Kerjasama di selatan berjaya kerana kedudukan PN di negeri-negeri tersebut bersifat pelengkap kepada dominasi tradisional UMNO. Sebaliknya, di negeri SG4, Pas memegang tampuk kuasa mutlak dengan kekuatan akar umbi yang jauh mengatasi UMNO. Justeru, dinamika kuasa antara kedua-dua parti ini bersifat asimetri bergantung kepada zon.

Dari sudut sosiologi politik, penguasaan semula kerusi yang selesa oleh BN-UMNO seringkali mencetuskan sindrom political hubris atau keangkuhan kuasa.

Apabila berada di puncak pemerintahan, keyakinan melampau cenderung menghakis sifat akomodatif dalam kalangan elit parti. Krisis pentadbiran yang tercetus di Negeri Sembilan pasca-PRN adalah manifestasi awal bagaimana percaturan kuasa dalaman dan keegoan politik boleh menggugat kestabilan institusi jika tidak diurus dengan berhemah.

Keegoan ini boleh menjadi titik pertikaian menjelang PRU16. Berdasarkan corak rundingan sedia ada, ada kemungkinan di pihak BN-UMNO untuk memposisikan diri sebagai ‘abang besar; dalam jajaran politik baharu itu.

Setelah menikmati pengorbanan kerusi oleh PN di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, tidak mustahil UMNO menuntut timbal balik politik di negeri-negeri SG4.

UMNO mungkin mendesak Pas-PN agar tunduk kepada tuntutan pembahagian kerusi serta jawatan pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah sebagai syarat kelangsungan kerjasama nasional.

Namun, dari perspektif pilihan rasional, Pas tidak mempunyai insentif politik untuk menyerahkan kerusi-kerusi selamat miliknya di SG4 kepada UMNO yang kehilangan pengaruh di pantai timur dan utara.

Sekiranya BN-UMNO gagal mengekang keegoan untuk mendominasi rundingan di SG4, jajaran SG7 yang diimpikan berisiko runtuh sebelum sempat diuji pada PRU16 dan membuktikan permuafakatan politik di Malaysia masih rapuh dan sekadar bersandarkan pragmatisme kuasa jangka pendek.

Difahamkan BN tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam PRN ke-13 bagi menghormati persefahaman politik antara UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Sekiranya BN mengubah pendirian, peluang untuk memenangi sebarang kerusi adalah amat tipis hingga menghampiri sifar.

Sejak empat parti komponen BN Sarawak (PBB, PRS, PDP dan SUPP) keluar daripada BN selepas PRU14 dan menubuhkan GPS, sentimen kewilayahan telah menjadi ideologi dominan pengundi Sarawak.

Naratif ‘Sarawak First’ dan tuntutan pemulihan hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadikan mana-mana parti yang berpangkalan di Semenanjung termasuk UMNO dilihat sebagai ‘parti luar’ atau ‘parti Malaya’.

Pengundi tempatan cenderung menolak campur tangan langsung parti dari Semenanjung dalam urusan pentadbiran negeri.

Daripada ditolak secara total, lebih baik BN memberi sokongan dan berkempen untuk GPS dalam PRN Sarawak nanti. Jika BN bertanding di DUN Sarawak kali ini adalah sangat risiko dan ibarat politik bunuh diri.

Hakikatnya, GPS adalah blok penentu yang penting dalam menstabilkan pentadbiran di Putrajaya. Jadi, cubaan BN untuk menceroboh kubu GPS di Sarawak boleh disifatkan sebagai pengisytiharan perang politik.

Tindak balas GPS di peringkat nasional boleh menggugat kedudukan BN dalam Kerajaan Pusat. Keputusan BN untuk tidak meletakkan calon dan sebaliknya menyokong PBB serta GPS adalah langkah realpolitik paling rasional.

Pengaruh dan kepentingan BN di Borneo kini hanya dapat dipertahankan melalui diplomasi elit dan perkongsian kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan, bukannya melalui peti undi di peringkat DUN Sarawak.

Prof. Madya Dr. Malike Brahim dari Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini