Pelakon kelahiran Indonesia, Caitlin Halderman, 26, tidak berminat menjadikan kontroversi atau gosip sebagai jalan pintas untuk meraih populariti, sebaliknya percaya hasil kerja dan keperibadian menjadi ukuran sebenar seseorang anak seni dalam membina nama.
Bagi pelakon yang sudah 10 tahun mengharungi industri hiburan itu, populariti yang dibina menerusi sensasi tidak menjamin penghormatan masyarakat, apatah lagi jika seseorang artis gagal menjaga tingkah laku dan hubungan baik dengan orang sekeliling.
Justeru, Caitlin lebih selesa membiarkan karya lakonan menjadi taruhan utama, selain berpegang pada prinsip bahawa sikap merendah diri merupakan perkara paling penting untuk bertahan dalam industri yang penuh persaingan.
“Saya tidak suka menaikkan nama melalui sensasi. Saya mahu orang ramai mengenali dan menyukai saya berdasarkan hasil kerja serta siapa diri saya sebenarnya. Tidak perlulah menggunakan sensasi atau gosip untuk mendapatkan perhatian.
“Saya mahu bekerja keras supaya orang ramai berbangga dengan hasil karya saya dan mengenali diri saya sebagai seorang individu berdasarkan keperibadian saya. Itu sudah memadai.
“Bagi saya, perkara itu tidak penting. Apa gunanya mencipta kontroversi semata-mata untuk menaikkan nama sedangkan kita boleh membina reputasi melalui hasil kerja sendiri?” kata aktres drama Dia Perempuan Sialan siaran Viu ini.

Menerusi naskhah berkenaan, Caitlin membawa watak Riska, pembantu rumah dari Indonesia yang pertama kali datang ke Malaysia. Karakter itu disifatkannya sebagai seorang wanita baik hati dan prihatin, namun sering berdepan pengalaman menyakitkan.
Mengakui watak berkenaan jauh berbeza daripada karakter yang pernah dibawanya sebelum ini, Caitlin berkata, dia perlu melakukan persediaan berbeza termasuk mengubah penampilan serta memberikan penghayatan terhadap beberapa babak mencabar.
Bagi Caitlin, antara cabaran terbesar menjayakan Riska adalah babak kerasukan yang disifatkannya sebagai pengalaman pertama sepanjang bergelar pelakon.
Malah, dia mengakui berasa gementar ketika pertama kali menjalani babak sedemikian kerana tidak pasti sama ada mampu memberikan persembahan seperti yang dikehendaki pengarah.
“Memang jauh berbeza daripada kebiasaan saya. Dari segi penampilan pun sudah berbeza kerana saya tidak pernah membawa watak pembantu rumah sebelum ini.
“Selain itu, terdapat banyak babak yang belum pernah saya lakukan, termasuk babak dirasuk. Sebelum ini, saya tidak pernah melakonkan babak seperti itu. Jadi, memang jelas saya perlu keluar daripada zon selesa.
“Saya juga berasa gementar ketika pertama kali menjalani babak kerasukan tersebut kerana tertanya-tanya sama ada saya mampu melakukannya dengan baik. Namun, syukurlah, saya rasa pengarah berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.

Nombor satu adalah sikap
Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai perkara paling penting yang perlu dimiliki seseorang pelakon untuk terus dihormati dan bertahan dalam industri, Caitlin tanpa teragak-agak meletakkan sikap sebagai keutamaan.
“Saya sangat berpegang pada prinsip hidup saya, iaitu sikap merupakan perkara paling utama. Seseorang itu perlu mempunyai sikap yang baik kerana sikap adalah nombor satu.
“Orang akan menghormati kita dan melayan kita dengan baik sekiranya kita juga berbuat baik kepada mereka. Tidak ada gunanya jika seseorang itu cantik, bijak dan hebat dalam lakonan, tetapi mempunyai sikap sombong. Perkara itu pasti akan menjadi buah mulut orang.
“Jadi, bagi saya, sikap perkara paling penting dalam industri ini. Kita perlu sentiasa merendah diri kerana sentiasa ada orang yang lebih hebat daripada kita,” katanya.
Mengulas mengenai gosip yang sering dikaitkan dengan kehidupan selebriti, Caitlin mengakui perkara itu sukar dielakkan sepenuhnya, apatah lagi apabila seseorang memilih kerjaya dalam dunia hiburan.
Namun, dia percaya kebijaksanaan mengendalikan sesuatu keadaan penting supaya tidak terheret dalam kontroversi yang boleh menjejaskan perjalanan kerjaya.
“Sudah tentu ada banyak gosip tentang saya, tetapi tidak pernah sampai ke tahap yang terlalu serius.
“Saya rasa kita tidak boleh lari daripada realiti kerana itulah antara harga yang perlu dibayar apabila bergelar seorang selebriti. Jika perkara itu berlaku, kita perlu menerima segala akibatnya dan tahu bagaimana untuk menghadapinya. Kita perlu bijak mengendalikan situasi tersebut,” katanya.
Ditanya bagaimana menangani pihak yang cuba mendekati atau mengambil kesempatan terhadap dirinya, Caitlin memilih untuk tidak memberikan sebarang reaksi.

Baginya, tidak semua perkara memerlukan penjelasan atau perhatian, apatah lagi jika sesuatu perkara itu bertentangan dengan prinsip yang dipegangnya.
“Saya hanya berdiam diri. Saya tidak pernah memberikan sebarang respons.
“Saya biarkan sahaja. Kalau hendak menggunakan bahasa yang lebih mudah, saya memang tidak peduli,” katanya berseloroh.
Mungkin perkataan ‘sialan’ itu lebih sensitif
Mengulas mengenai tajuk Dia Perempuan Sialan yang dianggap agak berani, Caitlin berpandangan penerimaan masyarakat terhadap penggunaan perkataan tertentu mungkin berbeza antara Malaysia dengan Indonesia.
Katanya, perkataan ‘sialan’ mungkin lebih sensitif dalam kalangan masyarakat tempatan, sedangkan di negara kelahirannya, judul sedemikian lebih cenderung mencetuskan rasa ingin tahu penonton mengenai individu yang dimaksudkan.
“Di Malaysia, perkataan ‘sialan’ mungkin dianggap lebih sensitif. Di Indonesia, mungkin perkataan itu tidak begitu sensitif. Cuma, orang ramai mungkin akan tertanya-tanya, ‘Mengapa tajuknya Dia Perempuan Sialan? Siapakah perempuan yang dimaksudkan itu?’
“Lebih kepada persoalan tentang maksud tajuk tersebut. Secara umumnya, tiada konotasi negatif yang dikaitkan dengan tajuk itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Caitlin yang mengakui dirinya masih dalam proses memperbaiki kemampuan lakonan berkata, dia tidak pernah menganggap pencapaian sepanjang 10 tahun dalam industri sebagai alasan untuk berasa selesa.
Sebaliknya, setiap projek dianggap peluang untuk menimba pengalaman baharu, sekali gus memperluas kemahiran sebagai pelakon.
“Saya rasa sukar untuk mengatakan bahawa saya masih bergelut, tetapi pada masa yang sama, saya juga belum boleh mengatakan bahawa saya sudah selesa. Namun, saya percaya bahawa sentiasa ada ruang untuk memperbaiki diri.
“Proses itu tidak akan pernah berakhir kerana bagi saya, setiap kali terlibat dalam sesebuah projek, saya sentiasa mempelajari sesuatu yang baharu,” katanya.
Mengakui dirinya mudah berasa bosan, Caitlin berkata, dia lebih gemar mencuba projek baharu yang menawarkan pengalaman berbeza daripada terus terikat dengan corak kerja sama.
Malah, peluang bekerjasama dengan penggiat seni Malaysia menerusi Dia Perempuan Sialan turut memberikan pengalaman bermakna apabila dia dapat mengenali budaya kerja tempatan dengan lebih dekat.
“Saya gembira dapat berada di sini. Saya sentiasa bersedia untuk belajar menerusi setiap projek dan saya yakin ada sesuatu yang telah saya pelajari sepanjang berada di Malaysia.
“Artis Malaysia juga sangat mesra dan suka berkongsi pengalaman. Saya belum begitu banyak bekerjasama dengan pelakon Malaysia yang lain, tetapi saya boleh katakan bahawa barisan pelakon drama ini, termasuk Hannah Delisha,, Meerqeen serta pelakon-pelakon senior dan legenda, semuanya sangat mengalu-alukan kehadiran saya. Mereka juga sangat baik dan mesra,” katanya.











