Kejayaan BN-PN di Melaka jadi batu lonjakan ke Putrajaya

Kejayaan BN-PN di Melaka jadi batu lonjakan ke Putrajaya

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Melaka menguatkan asas kepada pembentukan jajaran politik baharu menuju Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN Muafakat Melaka, gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), yang menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 berpotensi menjadi titik permulaan pembentukan jajaran politik baharu di Malaysia.

Keputusan itu memperlihatkan bagaimana penyatuan kekuatan dua gabungan politik yang sebelum ini bersaing mampu menghasilkan penguasaan kerusi lebih besar berbanding jika masing-masing bergerak secara berasingan.

BN memenangi 21 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi sekali gus memberikan gabungan itu majoriti dua pertiga di DUN Melaka. Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi empat daripada 24 kerusi yang ditandingi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan berkenaan memberikan gambaran mengenai kepentingan persefahaman politik dalam membentuk kekuatan pilihan raya, khususnya apabila dua gabungan yang mempunyai pengaruh dan penyokong tersendiri bersetuju menyelaraskan gerak kerja bagi mencapai matlamat bersama.

Kerjasama BN-PN di Melaka mempunyai perbezaan ketara berbanding pengalaman kedua-dua gabungan itu ketika menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.

Dalam kedua-dua pilihan raya berkenaan, persefahaman yang dicapai lebih tertumpu kepada pembahagian kerusi bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri, selain membuka ruang kerjasama jentera di kawasan tertentu.

Bagaimanapun, di Melaka, kerjasama itu berkembang ke tahap lebih tinggi apabila bukan sahaja bersetuju mengenai pembahagian kerusi, malah memeterai persefahaman politik yang menggariskan komitmen untuk membentuk kerajaan negeri bersama sekiranya memperoleh kemenangan.

Perkembangan itu memperlihatkan perubahan pendekatan apabila persaingan yang sebelum ini menyaksikan BN dan PN berada dalam blok berbeza mula digantikan dengan kerjasama lebih tersusun, sekurang-kurangnya dalam konteks pentadbiran negeri.

Kerjasama itu dimuktamadkan menerusi keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Oktober lalu yang sebulat suara mengesahkan persefahaman politik dengan Pas serta rakan-rakan dalam PN bagi menghadapi PRN Melaka ke-16.

Persefahaman itu diwakili Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung BN, Datuk Dr. Zambry Abd Kadir, manakala Pas dan PN turut diwakili barisan kepimpinan masing-masing.

Lebih penting, UMNO bukan sekadar memberikan persetujuan di peringkat kepimpinan, sebaliknya mengarahkan seluruh jentera dan penyokong parti supaya membantu sepenuhnya serta memberikan sokongan padu kepada calon PN yang bertanding di enam kerusi DUN.

Sokongan itu tidak terhad kepada kerja kempen, malah merangkumi mobilisasi jentera, publisiti, gerak saraf serta penyediaan petugas pusat mengundi dan pengiraan undi (PACA) bagi calon PN.

MENUJU PUTRAJAYA

Kesungguhan membina kerjasama itu turut dizahirkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebelum hari pengundian apabila beliau secara terbuka meletakkan Putrajaya sebagai matlamat lebih besar gabungan berkenaan.

Ab. Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, kerjasama BN dan PN pada PRN Melaka merupakan langkah awal ke arah mencapai matlamat politik lebih besar, iaitu mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Putrajaya matlamat kita, Melaka ialah kejayaan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Rahmah Mesra Ketua Menteri Melaka bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, sebelum PRN Melaka.

Kenyataan itu memberikan gambaran kerjasama di Melaka bukan sekadar bertujuan memenangi PRN, sebaliknya turut menjadi medan menguji kesepakatan kedua-dua gabungan sebelum diperluas ke peringkat nasional.

Ab. Rauf turut mengakui usaha menjalin kerjasama politik sebelum ini, termasuk menerusi Muafakat Nasional (MN), berdepan kesukaran untuk mencapai kata sepakat. Namun, kali ini BN dan PN berjaya mencapai persetujuan bagi menghadapi PRN Melaka.

Beliau turut mengingatkan BN pernah kehilangan kuasa selepas mentadbir negara selama kira-kira enam dekad, sekali gus menegaskan penentuan kerajaan terletak di tangan pengundi.

Kemenangan di Melaka kini memberikan BN dan PN asas politik di peringkat negeri untuk menilai keberkesanan kerjasama berkenaan, khususnya dari segi penyelarasan kepimpinan, pembahagian peranan serta penerimaan penyokong kedua-dua parti.

Perkembangan itu sekali gus membuka peluang kepada BN dan PN untuk memperkukuh kerjasama di peringkat nasional, khususnya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Kejayaan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga membuktikan persefahaman politik yang dibina mampu diterjemahkan kepada kemenangan pilihan raya, sekali gus menyediakan asas untuk kedua-dua gabungan meneroka kerjasama lebih menyeluruh.

Pengalaman di Melaka juga boleh dijadikan landasan untuk menyelaraskan kekuatan parti, jentera akar umbi serta tawaran dasar yang lebih bersepadu bagi membentuk kerangka kerjasama politik di peringkat Persekutuan.

Jika momentum itu dapat dikekalkan, BN dan PN berpeluang memperluas persefahaman berkenaan sebagai satu jajaran politik yang lebih tersusun dengan matlamat bersama untuk menawarkan kepimpinan dan hala tuju pentadbiran negara.

Penganalisis politik, Datuk Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, kerjasama BN dan PN pada PRN Melaka ke-16 berpotensi menjadi asas pembentukan jajaran politik baharu menjelang PRU16.

Beliau berkata, kemenangan gabungan itu menunjukkan penyatuan kekuatan kedua-dua pihak mampu mengurangkan pertembungan dan mengoptimumkan sokongan pengundi.

“Matematik politik membuktikan penyatuan lebih kuat daripada perpecahan tetapi undi tidak boleh dipindahkan secara automatik.

“Melaka ialah bukti awal, bukan jaminan kejayaan di peringkat nasional,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas perbezaan kerjasama di Melaka berbanding PRN Johor dan Negeri Sembilan, Sivamurugan berkata, persefahaman kali ini lebih tersusun apabila kedua-dua gabungan bukan sahaja menyelaraskan pembahagian kerusi, malah bersetuju membentuk kerajaan bersama.

Katanya, pendekatan itu menunjukkan hubungan politik BN dan PN berkembang daripada sekadar persefahaman taktikal kepada kesediaan membina kerjasama lebih serius dalam aspek pentadbiran.

“Daripada berkongsi pentas pilihan raya, kini mereka mula berkongsi kuasa pentadbiran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kenyataan Ab. Rauf bahawa Putrajaya menjadi matlamat seterusnya memberikan isyarat kerjasama di Melaka turut dilihat sebagai batu loncatan kepada pembentukan jajaran politik lebih besar.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan membentuk kerajaan negeri tidak semestinya menjamin pencapaian sama di peringkat Persekutuan kerana mandat nasional memerlukan sokongan lebih menyeluruh.

Mengulas kelebihan gabungan jentera BN dan PN, Sivamurugan berkata, BN mempunyai kekuatan tradisi, pengalaman pentadbiran serta jaringan UMNO, manakala PN membawa kekuatan mobilisasi dan pengaruh Pas serta parti-parti lain.

Menurutnya, gabungan kekuatan itu berpotensi memperkukuh persaingan di kerusi marginal sekiranya penyelarasan jentera dapat diteruskan secara konsisten.

Namun, beliau berkata, cabaran utama adalah memastikan penyokong kedua-dua gabungan benar-benar menerima kerjasama berkenaan dan memberikan sokongan kepada calon yang mewakili rakan gabungan.

“Jentera boleh digabungkan di atas kertas tetapi kesetiaan pengundi perlu dimenangi di lapangan,” katanya.

Mengulas sama ada PRN Melaka boleh menjadi titik perubahan landskap politik negara, Sivamurugan berkata, perkembangan itu mempunyai potensi berkenaan, namun masih terlalu awal untuk menganggapnya sebagai formula muktamad menjelang PRU16.

Beliau berkata, keputusan PRN Melaka menunjukkan kedua-dua gabungan mempunyai sumbangan tersendiri dalam membentuk majoriti 24 kerusi berkenaan.

Katanya, terdapat tiga perkara penting yang perlu dipertahankan bagi memastikan kerjasama itu terus berkembang, iaitu kepercayaan antara parti, pembahagian kerusi yang adil dan kesepakatan terhadap agenda bersama.

“Melaka mengajar untuk menang, mereka perlu bersatu. Untuk menawan Putrajaya, mereka perlu membuktikan mereka boleh mentadbir bersama.

“PRN Melaka mungkin melahirkan formula baharu politik Malaysia. Tetapi jangan keliru antara kesepakatan pilihan raya dengan kesepaduan pemerintahan. Menang bersama itu strategi, mentadbir bersama itu ujian sebenar,” katanya. –UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini