BN perlu calon MB Negeri Sembilan yang mampu selesaikan kemelut

BN perlu calon MB Negeri Sembilan yang mampu selesaikan kemelut

BARISAN Nasional (BN) perlu memilih calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang mampu menyelesaikan kemelut, memulihkan pentadbiran dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima menghadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu.

Sehingga kini, tiada sebarang pengesahan mengenai butiran lanjut hasil perbincangan antara pihak istana dengan Ismail.

Namun, susulan peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, menyebabkan Barisan Nasional (BN) perlu memastikan calon yang dipilih benar-benar berkeupayaan meredakan kemelut politik negeri itu, bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Meskipun kedudukannya sehingga hari ini masih belum dipastikan, namun pelan sandaran dari parti itu penting.

Ini kerana kemelut Negeri Sembilan yang masih tiada penghujung setelah BN mentadbir lebih 106 hari sudah pasti bukan sahaja menjejaskan nama Ismail tetapi pembawakan parti itu sendiri.

Tidak habis di situ, ia akan terus menerus menjadi senjata peluru pihak lawan khususnya Pakatan Harapan (PH) yang ditewaskan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

Malah, BN tidak boleh terus menunggu ‘keajaiban’ sekiranya berlaku pembubaran DUN yang mungkin menyaksikan Datuk Seri Aminuddin Harun kembali menjawat jawatan Menteri Besar buat kali kedua.

CALON BAHARU MESTI PULIHKAN KESTABILAN

Krisis yang berlarutan hampir tiga bulan itu bukan lagi sekadar perselisihan antara pemimpin politik, sebaliknya sudah menjejaskan kestabilan pentadbiran serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.

Lebih membimbangkan, kegagalan menyelesaikan konflik tersebut dengan segera memperlihatkan kelemahan pengurusan pentadbiran sehingga urusan kerajaan negeri turut terjejas.

Dalam keadaan itu, peletakan jawatan Ismail seharusnya menjadi titik permulaan kepada usaha memulihkan semula keadaan, bukannya penamat kepada kemelut yang masih belum selesai sepenuhnya.

Walaupun proses seterusnya tertakluk kepada prerogatif institusi istana, namun UMNO sebagai parti yang mempunyai tanggungjawab politik dalam pembentukan kerajaan negeri perlu mengambil pendirian jelas siapa pengganti yang paling layak.

Keputusan itu tidak boleh dibuat semata-mata berdasarkan kedudukan seseorang dalam parti atau pertimbangan politik jangka pendek, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan calon mengembalikan kestabilan, menyatukan kepimpinan serta memastikan pentadbiran berjalan lancar.

Mudah difahami, calon tersebut perlu mempunyai hubungan baik dengan pihak istana, kerajaan negeri, rakyat dan pihak lain yang berkepentingan.

Mahu tidak mahu, BN tiada pilihan lain kerana Negeri Sembilan tidak boleh terus dibiarkan terperangkap dalam kemelut kepimpinan sehingga urusan rakyat dan pembangunan negeri menjadi pertaruhan.

Dalam hal ini, persoalan paling besar ialah sejauh mana kerajaan negeri mampu berfungsi tanpa barisan exco, malah terus berdepan krisis berpanjangan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan struktur pentadbiran sedia ada.

Dalam situasi itu, keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha membentuk semula barisan pentadbiran yang dapat menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

Sekurang-kurangnya, pelantikan beberapa exco bagi mengisi kekosongan perlu dipertimbangkan sebagai langkah awal untuk memastikan urusan kerajaan tidak terus terganggu sementara penyelesaian menyeluruh dicapai.

Pada masa sama, kedudukan 10 exco yang terpalit dalam kemelut itu perlu diteliti secara adil dan menyeluruh. Sebarang tindakan tidak seharusnya dibuat berdasarkan pertimbangan politik semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira fakta dan kedudukan sebenar setiap individu.

Usaha menyelamatkan pentadbiran juga memerlukan ketegasan seorang Menteri Besar. Sekiranya tiada lagi ruang untuk menyelesaikan pertikaian dan memulihkan hubungan dalam kerajaan negeri, maka keputusan memberi laluan kepada kepimpinan baharu perlu dilihat sebagai pilihan yang wajar.

Tempoh lebih 106 hari yang berlalu tanpa penyelesaian tuntas bukan sahaja memanjangkan ketidaktentuan, malah berpotensi meningkatkan kemarahan rakyat terhadap kepimpinan negeri.

Dalam konteks itu, keputusan Ismail yang meletakkan jawatan berkuat kuasa Isnin perlu disusuli penjelasan yang sewajarnya bagi membolehkan rakyat memahami perkembangan sebenar krisis berkenaan.

Penjelasan itu penting bagi memperjelas hasil pertemuan beliau dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, khususnya sama ada peletakan jawatannya diperkenankan atau beliau perlu meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.

Dan jawapan konkrit perlu datang daripada tuan badan sendiri tanpa mewakili ahli keluarga lain.

hal ini kerana ia bukan soal jawatan kecil seperti Ketua Kampung yang boleh dipandang ringan, sebaliknya melibatkan kedudukan Menteri Besar dan kepentingan pentadbiran sebuah negeri.

Penjelasan secara terbuka dan berhemah penting supaya keputusan tersebut tidak terus dibayangi spekulasi, selain memperlihatkan kepentingan negeri dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi atau kelompok politik.

Justeru, adalah langkah yang baik jika satu pasukan petugas khas membabitkan pelbagai pihak berkepentingan bagi meneliti secara menyeluruh perkara berkaitan adat, perundangan dan mekanisme pentadbiran negeri diwujudkan.

Penelitian itu penting bagi memastikan setiap proses, bidang kuasa dan tatacara berkaitan dapat diperjelaskan serta didokumentasikan secara rasmi.

Dokumentasi berkenaan juga boleh dijadikan rujukan kepada generasi akan datang supaya tidak timbul kekeliruan mengenai sistem pemerintahan dan adat yang menjadi sebahagian daripada keunikan Negeri Sembilan.

Perlu diingat, kegagalan menyelesaikan persoalan asas berkenaan berisiko membuka ruang kepada pertikaian sama berulang, sekali gus menjejaskan hubungan antara institusi berkaitan dan kepimpinan politik negeri.

BN juga perlu memastikan pemimpin yang dipilih tidak mengulangi kelemahan pengurusan yang menjadi antara punca kemelut berkenaan.

Apa yang lebih penting, kepentingan rakyat mesti diletakkan mengatasi kepentingan parti kerana mandat untuk mentadbir negeri bukanlah satu keistimewaan politik, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. –UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini