UMNO Negeri Sembilan didakwa tidak bersedia mencari titik penyelesaian - Utusan Malaysia

UMNO Negeri Sembilan didakwa tidak bersedia mencari titik penyelesaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO dilihat cuba menjejaskan usaha memulihkan hubungan antara kepemimpinan Negeri Sembilan dengan Istana, selepas tindakan parti itu yang didakwa mendesak peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim ketika proses perdamaian masih berlangsung.

Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin dalam satu kenyataan berkata, cara peletakan jawatan Ismail dikendalikan telah mengganggu usaha menyelesaikan ketegangan antara pentadbiran negeri dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau dalam masa yang sama turut mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang mengumumkan peletakan jawatan Ismail sebelum perkara itu disahkan sendiri secara terbuka oleh individu berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengumuman itu menimbulkan persoalan mengenai kesahihan keputusan berkenaan, termasuk sama ada Ismail membuat keputusan tersebut secara sukarela. Malah pendedahan kronologi daripada pihak Istana jelas menunjukkan wujudnya tindakan luar biasa apabila surat peletakan jawatan tersebut hanya dihantar ke Istana melalui wakil firma guaman.

“Keadaan ini memberi gambaran seolah-olah wujud cubaan untuk meletakkan pihak Istana dalam keadaan terdesak tanpa melalui saluran protokol yang sewajarnya,” katanya hari ini.

Ismail sebelum ini memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Menurut Zambry, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu untuk dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz.

Dalam pada itu, Megat D. Shariman berkata, sekretariat berkenaan turut mengkritik Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang mengadakan sidang akhbar pada keesokan harinya bagi merakamkan penghargaan kepada Ismail atas khidmatnya, sedangkan perkenan rasmi Tuanku Muhriz terhadap peletakan jawatan itu belum diperoleh.

“Tindakan mendahului perkenan Istana dilihat sebagai tidak menghormati kuasa budi bicara institusi diraja.

“Keseluruhan episod ini mencerminkan sikap kepemimpinan UMNO Negeri Sembilan yang dilihat tidak bersedia mencari titik penyelesaian, sebaliknya terus mewujudkan ketegangan dengan Istana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini