GLASGOW: Seorang wanita yang menjalani pembedahan membuang lebihan lemak perut di Turkiye hampir maut selepas mengalami komplikasi serius sebaik pulang ke negara asal apabila doktor menemukan ketulan berisi nanah sebesar bayi dalam abdomen.
Caroline Kelbrick, 50, berkata dia pada awalnya berharap prosedur kosmetik itu dapat meningkatkan keyakinan diri selepas berjaya menurunkan berat badan kira-kira 50 kilogram susulan pembedahan mengecilkan perut.
Bagaimanapun, hanya dua hari selepas pulang, dia mula mengalami gejala serius termasuk menggigil tanpa kawalan, kesakitan teruk serta perut menjadi merah dan keras.
Caroline kemudian menghubungi talian perkhidmatan kesihatan Scotland sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans.
Pemeriksaan doktor mendapati dia mengalami sepsis, iaitu tindak balas melampau badan terhadap jangkitan yang boleh mengancam nyawa.
Dia kemudian menjalani pembedahan dalam tempoh dua jam dan doktor berjaya mengeluarkan ketulan besar berisi nanah dari bahagian abdomen.
Jangkitan itu menyebabkan kerosakan tisu yang serius sehingga doktor terpaksa membiarkan luka pembedahannya terbuka bagi membolehkan proses penyembuhan berlaku dari dalam ke luar.
Caroline berkata, pengalaman menjalani pembedahan mengecilkan perut di Turkiye pada Mei 2020 yang berjalan lancar menyebabkan dia tidak bimbang untuk kembali ke negara itu bagi menjalani prosedur kosmetik berkenaan.
Dia sebelum ini mengambil keputusan mendapatkan rawatan di luar negara kerana menyangka tidak layak menjalani pembedahan mengecilkan perut menerusi Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
Dalam tempoh tiga tahun, Caroline berjaya menurunkan berat badan kira-kira 50 kilogram, daripada hampir 120 kilogram kepada 76 kilogram.
Bagaimanapun, penurunan berat badan itu menyebabkan dia mempunyai lebihan kulit yang ketara di bahagian perut sehingga menjejaskan keyakinan dirinya.
“Lebihan kulit itu seperti bola yoga besar yang kempis dan tergantung di pinggang saya. Ia bergesel dengan kaki setiap kali saya berjalan.
“Keadaan itu menjejaskan keyakinan diri serta pilihan pakaian yang saya selesa pakai kerana saya sentiasa mahu menyembunyikan lebihan kulit berkenaan,” katanya.
Disebabkan pengalaman positif sebelum ini, Caroline memutuskan untuk kembali ke hospital sama bagi menjalani pembedahan membuang lebihan lemak perut dan menaikkan payudara.
Katanya, dia sudah membuat kajian terperinci mengenai klinik berkenaan sebelum menjalani pembedahan pertama dan berasa yakin untuk mendapatkan rawatan di situ sekali lagi.
Bagaimanapun, komplikasi yang dialaminya kali ini menyebabkan Caroline terpaksa menghabiskan masa selama dua minggu di hospital.
Dia kemudian perlu menggunakan mesin pembalut vakum khas selama tujuh bulan bagi mengeluarkan cecair dan jangkitan dari bahagian perut, selain menjalani proses menukar balutan luka sebanyak tiga kali seminggu.
Caroline berkata, dia tidak menyangka prosedur yang diharapkan dapat meningkatkan keyakinan dirinya itu akhirnya membawa kepada pengalaman hampir meragut nyawa.- AGENSI











