PETALING JAYA: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bakal mendapat akses kepada dana pelaburan berjumlah RM90 juta menerusi kerjasama strategik antara SME Corp. Malaysia, OSK dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif di bawah SME Corp. itu melibatkan peruntukan dana sebanyak RM45 juta yang disediakan kerajaan, selain dipadankan dengan sumbangan rakan strategik, menjadikan keseluruhan dana berjumlah RM90 juta.
Katanya, dengan adanya dana tersebut, ia sekaligus dapat membantu syarikat PMKS dalam sektor berimpak tinggi mendapatkan akses kepada pembiayaan, termasuk melalui instrumen ekuiti bagi menyokong perkembangan dan pertumbuhan perniagaan mereka.
“Inisiatif ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya syarikat PMKS untuk meningkatkan kapasiti, memperkukuh daya saing serta mengembangkan operasi perniagaan masing-masing.
“Saya berharap PMKS dapat mengambil manfaat daripada dana RM90 juta ini bagi meningkatkan lagi pertumbuhan syarikat mereka,” katanya Ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Perasmian Ibu Pejabat SME Corp di sini hari ini.
Steven Sim berkata, dengan pengoperasian bangunan baharu itu, SME Corp Malaysia mampu mengurangkan kadar sewa dan melakukan penjimatan sebanyak RM17 juta setahun atau bersamaan RM500 juta untuk tempoh 30 tahun akan datang.
Dalam pada itu, Steven Sim berkata, KUSKOP akan melaksanakan Pelan Tindakan SCALE 2027 yang menggariskan lima focus strategik iaitu penakrifan semula PKS, perlindungan aliran tunai, kecerdasan buatan untuk PMKS, keperluan kandungan tempatan dan mempermudah pembiayaan. – UTUSAN











