Strategi 3P bantu PMKS tembusi pasaran global - KUSKOP

Strategi 3P bantu PMKS tembusi pasaran global – KUSKOP

STEVEN SIM menyaksikan pertukaran MoU antara Lazada Malaysia dengan SME Corp. Malaysia sempena Persidangan Eksport Enterprise 50 (E50) di Grand Ballroom, Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan strategi tiga ‘P’ merangkumi platform, permit dan promosi bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan menembusi pasaran antarabangsa menerusi platform e-dagang global.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, strategi itu bertujuan memastikan produk dan perkhidmatan PMKS bukan sahaja mampu bersaing di pasaran domestik, malah berpeluang menembusi pasaran luar negara menerusi saluran perdagangan digital.

Beliau berkata, menerusi strategi berkenaan, KUSKOP akan membantu PMKS menyenaraikan produk mereka di platform e-dagang antarabangsa, memudahkan urusan berkaitan permit dan perlesenan serta memperkukuh usaha promosi bagi meningkatkan kebolehlihatan produk tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita perlu membantu perusahaan tempatan menyenaraikan produk mereka di platform e-dagang kerana proses penyenaraian kadangkala agak rumit. Oleh itu, kita mahu membantu anda menyenaraikan produk di platform e-dagang dan memanfaatkan portal berkenaan.

“Kita juga mahu membantu dan memudahkan urusan berkaitan permit. Apabila anda mahu menembusi pasaran luar negara, anda perlu berurusan dengan pelbagai perkara termasuk lesen, permit, borang, peraturan, garis panduan dan perundangan. Justeru itu, kita mahu memastikan selepas perniagaan anda dibawa masuk ke platform e-dagang, anda turut mendapat bantuan dalam urusan berkaitan permit.

“Aspek promosi juga perlu dibantu kerana tiada gunanya kita meletakkan mereka di platform global yang menghimpunkan jutaan syarikat serta berjuta-juta produk kerana produk anda akhirnya akan tenggelam dalam persaingan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Eksport Enterprise 50 (E50) di Grand Ballroom, Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre di sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pembangunan PMKS antara SME Corp. Malaysia dengan Entrepreneurship Development Company (EDC) Uzbekistan, LAZADA Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Persidangan Eksport E50 yang dianjurkan buat julung kalinya bersempena dengan Program Anugerah E50 tahun ini menyediakan platform kepada PMKS, terutamanya syarikat yang tercalon untuk Anugerah E50 dan Alumni E50 bagi mengembangkan pasaran ke peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, Steven berkata, perbincangan turut diadakan dengan syarikat e-dagang global, Alibaba, ketika lawatan beliau ke China baru-baru ini, bagi meneroka peluang membantu perniagaan tempatan memanfaatkan platform berkenaan untuk membawa produk dan perkhidmatan tempatan ke pasaran antarabangsa.

“Malaysia memerlukan ekosistem e-dagang rentas sempadan dua hala yang sebenar, bukan sekadar membuka pasaran tempatan kepada barangan import, sebaliknya turut memastikan produk Malaysia mendapat akses ke pasaran luar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini