Kejayaan PMKS cerminan kejayaan ekonomi negara - Steven Sim - Utusan Malaysia

Kejayaan PMKS cerminan kejayaan ekonomi negara – Steven Sim

STEVEN Sim (tengah) bersama semua penerima anugerah sempena Anugerah Enterprise 50 di ibu negara, hari ini - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan sektor perniagaan malah menjadi antara ukuran penting kejayaan ekonomi negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan PMKS, khususnya dalam memastikan golongan usahawan mampu terus berkembang meskipun berdepan pelbagai cabaran ekonomi global.

Menurutnya, Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada menerima kesan pelbagai krisis dunia yang turut memberi tekanan kepada sektor perniagaan tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Misi kami (kementerian) secara menyeluruh adalah untuk hebatkan perniagaan di Malaysia.

“Oleh itu, sekiranya anda hebat, ia adalah satu bukti kecil bahawa kami telah memainkan peranan kami.”

“Kejayaan anda bukan sekadar kejayaan KUSKOP, apabila PMKS berjaya, ini bermakna ekonomi Malaysia juga berjaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Enterprise 50 (E50) di ibu negara, hari ini.

Steven berkata, antara tiga keutamaan yang dibawa kementerian dalam perbincangan bersama Kementerian Kewangan ketika penyediaan Belanjawan 2027 ialah meningkatkan akses pembiayaan, mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan menambah baik kecekapan penyampaian kerajaan.

Katanya, ketiga-tiga perkara itu merupakan antara maklum balas utama yang diterima daripada pemain industri serta pertubuhan yang mewakili kepentingan PMKS.

“Kita mahukan lebih banyak dana dan sumber untuk PMKS, kos menjalankan perniagaan yang lebih rendah serta kecekapan lebih tinggi, khususnya dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil kira tekanan kos yang dihadapi usahawan, termasuk kenaikan harga tenaga dan gangguan rantaian bekalan yang berada di luar kawalan negara.

Sehubungan itu, katanya, kelonggaran tertentu perlu diberikan kepada PMKS bagi membolehkan mereka menyesuaikan operasi perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Kita mahu rakyat Malaysia mempunyai peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi, tetapi pada masa sama kita tahu bahawa ketika berdepan pelbagai krisis, PMKS perlu diberikan ruang untuk bernafas.

“Kita tidak boleh mengawal harga tenaga atau sebahagian gangguan rantaian bekalan, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh mengawal kos dalaman di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada 50 penerima Anugerah E50 atas pencapaian mereka serta berharap kejayaan tersebut dapat menjadi dorongan kepada lebih banyak syarikat tempatan untuk terus berkembang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini