Kerajaan akan wujudkan jawatankuasa kerja selaraskan penguatkuasaan produk asing

Kerajaan akan wujudkan jawatankuasa kerja selaraskan penguatkuasaan produk asing

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan mewujudkan satu jawatankuasa kerja melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan bagi menyelaraskan penguatkuasaan ke atas kemasukan produk dan perniagaan entiti asing ke negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan mengambil serius kebimbangan peniaga tempatan khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berhubung persaingan dalam pasaran yang semakin mencabar termasuk kepesatan perkembangan perdagangan digital dan kehadiran entiti e-dagang asing.

Katanya, dalam Jawatankuasa Kabinet Memperkasa Pembelian dan Penggunaan Produk Tempatan dipengerusikannya telah memberi perhatian kepada keperluan memperkukuh penyelarasan dasar, meneliti kerangka perundangan dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambahnya, ia bagi memastikan persaingan yang adil serta melindungi kepentingan PMKS tempatan.

“Ini termasuk meneliti peraturan sedia ada dan memperkukuh mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan, khususnya dalam landskap perdagangan digital yang semakin berkembang.

“Mesyuarat turut menekankan keperluan penyelarasan penguatkuasaan ke atas kemasukan produk dan perniagaan entiti asing yang akan diteliti oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan (MOF) melalui kumpulan jawatankuasa kerja yang akan diwujudkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan peniaga tempatan mempunyai peluang yang lebih adil untuk bersaing, mengembangkan perniagaan dan meluaskan capaian pasaran.

“Kerajaan juga perlu memastikan perkembangan ekonomi digital tidak mengetepikan kepentingan perusahaan tempatan, sebaliknya menyediakan persekitaran perdagangan yang telus, teratur dan bertanggungjawab kepada semua.

“Dalam hal ini, penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang diberikan perhatian bagi menyokong ekosistem e-dagang yang lebih berkesan, mengambil kira kepentingan peniaga, PMKS dan pengguna serta perubahan landskap perdagangan semasa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata, Jawatankuasa Kabinet Memperkasa Pembelian dan Penggunaan Produk Tempatan turut membincangkan penyeragaman penggunaan logo JOM Malaysia dalam program mempromosikan produk tempatan, selain meneruskan penggunaan logo khusus yang telah ditetapkan untuk program kementerian masing-masing.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dicadangkan untuk menyelaras panduan penggunaan logo, termasuk mekanisme pemantauan dan pelaporan bagi memperkukuh pelaksanaan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membeli dan menggunakan produk tempatan.

“Inisiatif ini selari dengan pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2027 yang memperuntukkan RM10 juta bagi JOM MALAYSIA untuk membawa produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke platform digital serta pasaran luar.

“Peruntukan ini menyediakan peluang untuk memperluas capaian pasaran produk dan perkhidmatan tempatan, khususnya keluaran usahawan desa dan PMKS, di samping meningkatkan penyertaan mereka dalam ekonomi digital dan pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, agenda memperkasa pembelian dan penggunaan produk tempatan memerlukan pendekatan seluruh negara melibatkan kerjasama menyeluruh antara kementerian, agensi, pihak industri, PMKS, peruncit, pemborong, platform digital dan pengguna.

“Pendekatan bersepadu ini penting bagi memastikan peniaga dan PMKS tempatan bukan sahaja dilindungi daripada persaingan yang tidak adil, malah diberikan ruang dan peluang untuk berkembang, meningkatkan produktiviti serta menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini