PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing mengakui tidak mudah untuk mengharungi kehidupan sebagai pemain profesional, lebih-lebih lagi tanpa pasukan fisio di sisi mereka.
Pasangan itu mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong, hari ini, selepas menewaskan Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata dari Indonesia 21-14, 22-24, 21-13 dalam masa 53 minit di pusingan pertama.
Pang Ron-Pei Jing yang menghuni ranking No. 14 dunia sekali lagi bakal berdepan beregu No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China di peringkat 16 terbaik, esok.
Minggu lalu di Jepun Masters, mereka terkandas kepada lawan yang sama juga di peringkat 16 terbaik.
Pei Jing berkata, tidak mudah untuk berdepan beregu handalan China, terutama dengan keadaan fizikal mereka yang kurang baik.
“Fokus kami makin kurang, esok lawan China, bukan satu perlawanan mudah, tetapi kita akan cuba buat yang terbaik,” katanya sewaktu ditemu bual wakil BWF.
Pang Ron pula memberitahu, mereka sudah hampir dua bulan berada di luar negara tanpa pasukan fisio mengiringi dan keadaan kesihatannya juga sedikit terjejas kerana menghidap batuk serta selesema.
“Inilah cabaran saya sejak meninggalkan skuad kebangsaan, sebagai pemain profesional untuk menggunakan khidmat fisio kami tidak mampu kerana perbelanjaannya mahal, sampai hari ini, saya masih belum betul-betul sihat,” katanya.
Ketika ditanya tentang peluang mereka beraksi pada Jelajah Dunia Akhir BWF, jelas Pang Ron, mereka enggan terlalu memikirkan tentang kejohanan itu dan lebih selesa memberikan perhatian kepada perlawanan demi perlawanan.
Sementara itu, turut mara ke pusingan kedua adalah dua lagi beregu campuran Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien.
Soon Huat-Shevon menewaskan beregu ke-38 dunia, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett dari Amerika Syarikat (AS) 21-17, 21-14, manakala, Tien Ci-Chiew Sien pula mengalahkan wakil India, Hariharan Amsakarunan-Tanisha Crasto 28-26, 21-14.
Soon Huat-Shevon yang merupakan pasangan No. 13 dunia akan bertemu satu lagi gandingan AS, Presley Smith-Jennie Gai, sementara, Tien Ci-Chiew Sien berdepan beregu No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China.
Dalam pada itu, empat lagi wakil Malaysia tersingkir di pusingan awal iaitu Chen Tang Jie-Chan Wan Tse, Jimmy Wong-Cheng Su Yin, Leong Jun Hao dan K. Letshanaa. – UTUSAN











