PETALING JAYA: Malaysia tidak seharusnya terus menanggung beban krisis pelarian Rohingya tanpa penyelesaian jelas, sebaliknya Myanmar perlu dipertanggungjawabkan terhadap kekejaman yang menyebabkan masyarakat itu meninggalkan negara berkenaan.
Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) berkata, penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes The Gambia menentang Myanmar berhubung dakwaan pelanggaran Konvensyen Genosid 1948 mempunyai kepentingan langsung kepada Malaysia.
Menurutnya, isu pelarian Rohingya bukan sekadar persoalan kemanusiaan, malah berkait rapat dengan keselamatan negara, pengurusan sempadan, imigresen dan kesejahteraan masyarakat tempatan.
Ujarnya, berdasarkan maklumat Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 17 November lalu, seramai 133,400 pelarian dan pencari suaka Rohingya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia setakat 30 September 2026.
Selain itu, seramai 6,294 warga Rohingya dilaporkan berada di depot imigresen pada 31 Oktober lalu.
“Angka berkenaan menggambarkan skala cabaran yang perlu ditangani secara serius, termasuk isu kemasukan tanpa dokumen sah, pematuhan undang-undang, keselamatan awam, kegiatan ekonomi tidak formal dan tekanan terhadap komuniti setempat.
“Rakyat Malaysia berhak menuntut penguatkuasaan undang-undang imigresen yang konsisten, kawalan sempadan yang berkesan serta kepastian bahawa negara ini tidak akan terus menanggung beban krisis tersebut tanpa penghujung,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Centhra, kerajaan perlu terus memperkukuh pendaftaran, pengesahan identiti, saringan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan strategi pemulangan yang teratur.
Ujarnya, sekiranya ICJ mendapati Myanmar melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid, keputusan itu akan menjadi perkembangan penting dalam usaha menuntut pertanggungjawaban negara berkenaan.
“Penghantaran pulang tanpa penilaian risiko yang sewajarnya tidak semestinya menyelesaikan masalah sekiranya keadaan yang menyebabkan mereka meninggalkan Myanmar masih berterusan.
“Akauntabiliti Myanmar bukan sekadar persoalan prinsip atau hubungan antarabangsa. Ia merupakan sebahagian daripada usaha menangani punca kekejaman yang selama ini turut memberi kesan kepada negara kita,” katanya.
Menurutnya, keputusan itu berpotensi memperkukuh asas undang-undang dan diplomatik bagi mendesak pemulihan hak masyarakat Rohingya serta mewujudkan keadaan yang membolehkan pemulangan mereka dilaksanakan secara selamat dan berkekalan.
Jelas beliau, antara perkara yang perlu diberikan perhatian termasuk jaminan keselamatan, pengiktirafan identiti dan hak kewarganegaraan tanpa diskriminasi, pemulihan hak milik serta kediaman dan mekanisme pemantauan antarabangsa yang berkesan.
Bagaimanapun, jelasnya, penghakiman ICJ tidak secara automatik memberikan status imigresen kepada pelarian di Malaysia, mewajibkan negara ini menerima mereka secara kekal atau mengetepikan undang-undang domestik.
“Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967, manakala Akta Imigresen 1959/63 kekal sebagai kerangka utama pengawalan kemasukan dan keberadaan warga asing di negara ini.
“Kedaulatan Malaysia dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa bukan dua perkara yang bercanggah. Malaysia berhak mengawal sempadan dan menguatkuasakan undang-undangnya.
“Malaysia perlu menggunakan kedudukan diplomatiknya di ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak Myanmar serta masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab lebih besar dalam menyelesaikan krisis berkenaan,” katanya. – UTUSAN











