PUTRAJAYA: Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan bahawa isu berkait pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan membabitkan pengampunan bersyarat, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dibangkitkan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat lalu.
Menurut beliau, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan meskipun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mencadangkan supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang memutuskan supaya Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah dinyah klasifikasikan, dengan cadangan berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet.
“Saya bukan dalam Lembaga Pengampunan, saya tak boleh sahkan sama ada minit itu betul atau tidak. Jadi terpulanglah pada siapa yang bertanggungjawab.
“Sebab bagi pihak Kabinet, Menteri Dalam Negeri kata dia nak bawa dalam Kabinet kan, nak jawab soalan dalam Parlimen jadi dalam handsard itu. Saya tak terlibat, jadi saya tak boleh nak komen lebih. Tapi yang saya tahu dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas tak dibawa,” katanya.
Azalina berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi salah seorang panel dalam program Kebenaran Dalam Era Ledakan Maklumat pada Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Terdahulu, dokumen yang dipercayai minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-64 bertarikh 18 September 2026 itu tular di laman sosial yang mendedahkan perbezaan pandangan dalam kalangan ahlinya berhubung status bekas Perdana Menteri itu.
Beberapa muka surat kandungan minit mesyuarat itu telah dikongsi oleh bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menerusi akaun Facebook, yang antara lain merekodkan pendirian Peguam Negara berhubung perkara tersebut.
Dalam pada itu, ahli Parlimen Pengerang itu berkata, UMNO mengambil pendekatan untuk meneliti perkembangan isu berkenaan terlebih dahulu dan tidak mahu bertindak secara reaktif sebagai sebuah parti.
“Tapi saya rasa biar mana-mana pihak yang itu, (mereka) bertanggungjawablah. Kita tidak boleh bertindak secara reaktif sebagai satu parti. Jadi untuk parti, kita ambil pendekatan tunggu dan lihat.
“Tapi saya pun tahu sebagai parti UMNO, parti yang menjunjung Perlembagaan dan seperti saya sebut dalam tulisan saya berkenaan dengan hubungan dalam perjanjian Kerajaan Perpaduan, memang antara kita punya komitmen dengan PH (Pakatan Harapan) ialah menjunjung kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau dipolitikkan sedemikian seolah-olah memberikan banyak… boleh dilihat daripada banyak perspektiflah. Jadi saya pun tak nak langkah bendul, biar satu-satu dulu dan bila parti tengok itu kita dengar responsnya,” ujarnya.
Pada masa sama, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) mengingatkan semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam memberikan kenyataan berhubung isu berkenaan memandangkan ia menyentuh perkara berkaitan institusi diraja dan isu 3R (agama, kaum dan raja) yang masih tertakluk kepada undang-undang negara.
“Tapi bagi saya, kalau saya yang tak tahu butir ini, mesti saya akan kata kenapa tiba-tiba? Jika nak cakap pasal Lembaga Pengampunan, tiap-tiap negeri banyak Lembaga Pengampunan, banyak kes. Kalau semua kes-kes nak dikeluarkan, berpeluh juga yang ahli dalam Lembaga Pengampunan kan?
“Saya tak nak terlampau awal nak buat kenyataan mengatakan ini itu sebab kita kena bagi orang peluang untuk memberikan ‘point of view’ mereka. Tapi bagi saya, kita kena berhati-hati sebab kita tahu bahawa isu 3R itu masih dianggap sebagai satu isu undang-undang dalam negara kita. Terlampau ‘a bit premature’ nak komen lebih,” katanya. – UTUSAN











