Pergerakan Najib keluar rumah patuhi SOP tahanan rumah - Utusan Malaysia

Pergerakan Najib keluar rumah patuhi SOP tahanan rumah

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan Datuk Seri Najib Razak di rumahnya di Jalan Langgak Duta yang diwartakan sebagai penjara selama hampir lapan jam, semalam dijelaskan pihak Jabatan Penjara.

Menurut jabatan itu, Najib dibawa keluar dari rumahnya bermula pukul 10.25 pagi sehingga 6.25 petang bukan hanya melibatkan urusan menunaikan solat Jumaat sahaja.

Katanya, sepanjang tempoh itu, Najib menjalankan beberapa urusan lain yang sudah ditetapkan termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan di Jabatan Ortopedik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“(Kemudian beliau) menunaikan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang; mengikuti sesi pengajian al-Quran bersama ustaz daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Penjara Kajang; dan menghadiri sesi kaunseling bersama Pegawai Psikologi Penjara Kajang.

“Setelah selesai semua urusan tersebut, beliau telah dibawa pulang dari Penjara Kajang pada jam 5.50 petang dan sampai ke rumah di Jalan Langgak Duta pada jam 6.25 petang,” katanya semalam.

Jabatan Penjara menjelaskan bahawa setiap pergerakan Najib dilaksanakan berdasarkan urusan dan keperluan yang telah ditetapkan serta tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP), syarat-syarat tahanan rumah dan kawalan serta seliaan pihak Jabatan Penjara.

“Pelaksanaan aktiviti keagamaan, rawatan kesihatan serta program pemulihan dan intervensi merupakan antara aspek yang diberikan perhatian dalam pengurusan seseorang individu yang sedang menjalani hukuman.

“Jabatan Penjara Malaysia akan terus memastikan segala urusan berkaitan dilaksanakan secara teratur, profesional dan mematuhi ketetapan yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini