Ketiadaan Orfi, peluang Sivasangari buru gelaran kelima

Ketiadaan Orfi, peluang Sivasangari buru gelaran kelima

S. Sivasangari. - PSA SQUASH TOUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan jaguh No. 1 dunia, Amina Orfi dari Mesir, membuka peluang lebih cerah buat bintang skuasy negara, S. Sivasangari untuk memburu gelaran kelima pada kejohanan bertaraf Gold di Terbuka China yang bermula Selasa depan.

Orfi yang juga juara bertahan terpaksa menarik diri daripada kejohanan di Shanghai itu akibat kecederaan, sekali gus menyaksikan Sivasangari yang menghuni ranking No. 4 dunia mengambil alih status sebagai pilihan pertama.

Penarikan diri pemain Mesir itu pastinya memberikan kelebihan dari segi laluan pertandingan buat Sivasangari, namun pemain berusia 27 tahun itu tetap perlu berwaspada memandangkan kejohanan berstatus Gold tersebut turut menghimpunkan beberapa pencabar berkualiti dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara pemain yang dijangka memberi tentangan sengit adalah pemain No. 7 dunia dari Jepun, Satomi Watanabe yang diletakkan sebagai pilihan kedua, diikuti Tinne Gilis dari Belgium selaku pilihan ketiga dan pemain Mesir, Salma Hany yang memegang status pilihan keempat.

Bagaimanapun, peluang Sivasangari untuk menambah koleksi kejuaraan sememangnya terbuka luas berdasarkan rekod cemerlangnya dalam kejohanan bertaraf Gold sebelum ini.

Pada tahun ini sahaja, pemain kelahiran Kedah itu pernah menjulang trofi pada Terbuka Silicon Valley di Redwood City, Amerika Syarikat dan Terbuka Australia di Brisbane, selain turut menjuarai Piala Grasshopper di Zurich, Switzerland serta London Classic di London, tahun lalu.

Empat kejayaan itu membuktikan Sivasangari mempunyai kemampuan untuk menguasai kejohanan berstatus Gold, sekali gus meletakkannya sebagai antara calon utama untuk membawa pulang gelaran di Shanghai.

Ini juga merupakan peluang terbaik Sivasangari mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok empat pemain terbaik dunia.

Ketiadaan Orfi yang sebelum ini memulakan musim 2026/27 dengan empat gelaran dan rekod 19 kemenangan berturut-turut telah mengubah landskap persaingan kejohanan berkenaan.

Pemain No. 16 dunia, Farida Mohamed dari Mesir mendapat manfaat daripada perubahan undian apabila naik ke kelompok lapan pemain pilihan dan menerima bye pada pusingan pertama.

Sementara itu, Sivasangari yang diletakkan selaku pilihan pertama sememangnya mendapat bye pada pusingan awal dan dia hanya akan turun ke gelanggang pada Rabu berdepan sama ada pemain No. 38 dunia, Malak Khafagy atau Haya Ali yang menghuni ranking ke-52 dunia di peringkat 16 terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini