SEREMBAN: Datuk Ismail Lasim tetap menjalankan tugas seperti biasa di sebalik berita pengundurannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Mohd. Fasha Musthafa ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
“Bertugas macam biasa. Ikut jadual, ada mesyuarat dan perjumpaan. Menteri Besar kita okay dan bertenang,” katanya.
Sementara itu, Ismail turut memuat naik satu hantaran di media sosial hari ini yang memaklumkan beliau menghadiri perjumpaan bersama Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia yang baharu, Akhmal Abu Basar di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUK).
Terdahulu, media melaporkan, hasil pertemuan semalam difahamkan Tuanku Muhriz menitahkan Ismail supaya meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar seperti biasa.
Perkembangan itu sekali gus memberi gambaran bahawa kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar masih belum berubah dan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan perlu diteruskan seperti biasa.
Malah, sehingga pagi ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak istana yang mengesahkan keputusan hasil pertemuan antara Ismail dengan Tuanku Muhriz, semalam.
Sebaliknya, acara rasmi agensi kerajaan negeri yang dihadiri atau dirasmikan oleh Ismail setakat ini masih menggunakan status beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Sebelum ini, timbul desas-desus Ismail akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan kedudukan itu bakal digantikan dengan calon lain.
Bagaimanapun, Ismail dilaporkan menafikan perkara tersebut dan memaklumkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berlangsung seperti yang dijadualkan.
Kelmarin, Barisan Nasional (BN) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengesahkan pihaknya menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail.
Zambry dilaporkan berkata, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menerima salinan surat berkenaan.
Bagaimanapun, Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali dalam kenyataan semalam menjelaskan pihak Istana belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan yang menurut Zambry telah ditandatangani Ismail.
Azizi berkata, pada pukul 8.38 malam, Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menyampaikan perkenan Tuanku Muhriz kepada Ismail menerusi aplikasi WhatsApp untuk menghadap seperti yang dipohon Menteri Besar itu.
Menurutnya, Ismail telah mengakui menerima makluman berkenaan dan sesi menghadap ditetapkan pada pukul 10 pagi Jumaat ini. – UTUSAN











