Richard Chin wira Harimau Malaya

Richard Chin wira Harimau Malaya

RICHARD Chin meraikan jaringan ketika aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China, semalam. - IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Yaman dalam aksi persahabatan antarabangsa menerusi persembahan meyakinkan yang menyaksikan Richard Chin muncul wira selepas meledak dua jaringan.

Malaysia memulakan perlawanan dengan cukup positif apabila berjaya mendapatkan gol pendahuluan seawal minit ketujuh menerusi jaringan Chin yang memanfaatkan bola muntah tepisan penjaga gol Yaman, Abdulhakim Hassan.

Jaringan awal itu memberikan suntikan semangat kepada barisan pemain negara untuk terus meningkatkan intensiti permainan dalam usaha menguasai perlawanan, namun tiada tambahan jaringan pada babak pertama untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelebihan satu gol itu menyaksikan Harimau Malaya tampil lebih berkeyakinan dalam mengatur gerakan serangan selain mengawal rentak permainan pada babak kedua.

Yaman bagaimanapun cuba memberikan tentangan dengan meningkatkan tekanan terhadap kubu pertahanan Malaysia bagi mencari gol penyamaan, namun disiplin pertahanan Malaysia berjaya mengawal permainan.

Pada minit-57, Chin sekali lagi mencetak nama selaku penjaring apabila memanfaatkan kesilapan Abdulhakim untuk gol kedua Malaysia.

Tersentak dengan jaringan itu, Yaman menggandakan asakan bagi memburu jaringan dan mereka hampir meraih gol pada minit ke-74 , namun pertahanan negara Safwan Mazlan berjaya mengeluarkan bola ketika Haziq Nadzli sudah tertewas.

Empat minit kemudian, gol yang dicari-cari Yaman akhirnya menjelma menerusi pemain gantian, Rauf Sheraji Sheraji untuk menjadikan kedudukan menjadi 2-1.

Pada lima minit terakhir perlawanan di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre itu, Yaman mencipta beberapa gerakan untuk mencari gol penyamaan, namun, barisan pertahanan negara menunjukkan disiplin permainan yang baik untuk mengekang asakan lawan.

Keputusan 2-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama kepada Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa selepas tewas 0-2 kepada China pada Sabtu lalu.

Kemenangan tersebut pastinya menjadi suntikan motivasi buat skuad kebangsaan, manakala jaringan awal Richard Chin pada minit ketujuh menjadi antara detik penting dalam kejayaan Malaysia menundukkan Yaman. – UTUSAN

KAPSYEN

RICHARD Chin meraikan jaringan ketika aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China, semalam. – IHSAN MALAYSIA NT

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini