CIMB Islamic sasar AUM Kekayaan Islam naik lebih dua kali ganda - Utusan Malaysia

CIMB Islamic sasar AUM Kekayaan Islam naik lebih dua kali ganda

AHMAD Shariman (kiri) bersama Haniz Nazlan (kanan) pada majlis pelancaran CIMB Islamic Wealth Management Grow.Protect.Purify.Distribute di Menara CIMB, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menyasarkan peningkatan lebih dua kali ganda aset di bawah pengurusan (AUM) bagi perniagaan Kekayaan Islam menjelang 2030, disokong peluasan penyelesaian kewangan patuh syariah dan pengukuhan khidmat nasihat kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan CIMB, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, sasaran itu merupakan sebahagian daripada aspirasi Kumpulan CIMB untuk menggandakan perniagaan pengurusan kekayaan menjelang 2030, bukannya sasaran pertumbuhan yang berasingan.

“Pertumbuhan AUM Kekayaan Islam ini merangkumi pelaburan dan bancassurance dengan tumpuan kepada peluasan penawaran serta peningkatan penglibatan pelanggan, khususnya dalam segmen berpendapatan tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pertumbuhan ini disokong rangkaian penyelesaian kekayaan patuh syariah yang lebih luas serta penglibatan pelanggan yang lebih mendalam,” katanya pada sidang media selepas pelancaran penyelesaian Pengurusan Kekayaan Islam CIMB Islamic di sini.

Beliau berkata, rangkaian baharu itu menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi membantu pelanggan mengurus kewangan dan merancang harta pusaka mengikut keperluan pada setiap peringkat kehidupan.

Menurutnya, antara penawaran diperkenalkan termasuk penyelesaian pelaburan, perlindungan, penyucian harta dan perancangan harta pusaka menerusi inovasi digital Zakat365 Lite dan Faraid360, selain platform MyWealth yang dipertingkatkan dengan pilihan pelaburan patuh syariah.

“Pelanggan hari ini mahukan kaedah yang lebih mudah dan praktikal untuk menguruskan kekayaan mereka.

“Penyelesaian kami menggabungkan aspek penciptaan kekayaan, perlindungan, penyucian harta dan perancangan harta pusaka dalam satu pengalaman yang lancar,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh khidmat nasihat, CIMB Islamic turut menyasarkan pembangunan pasukan seramai 100 Perancang Kewangan Islam bertauliah menjelang suku pertama 2027.

Ahmad Shahriman berkata, pelanggan juga digalakkan memulakan perancangan harta lebih awal, termasuk menyediakan wasiat meskipun belum memiliki aset yang besar.

“Wasiat membolehkan seseorang melantik wasi atau pentadbir bagi menguruskan harta pusaka selepas kematian, sekali gus membantu mengurangkan masalah pentadbiran dan perselisihan dalam kalangan waris.

“Selain itu, pelanggan boleh mempertimbangkan hibah tunai menerusi pelan takaful bagi menyediakan wang segera kepada keluarga sementara proses penyelesaian harta pusaka dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan berkata, gabungan pendekatan khidmat nasihat dan digital membolehkan penyelesaian pengurusan kekayaan Islam diperluas kepada lebih ramai pelanggan, termasuk mereka di luar segmen berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, platform digital membolehkan pelanggan mengakses kepakaran dan pandangan pelaburan yang sebelum ini lebih tertumpu kepada perkhidmatan nasihat secara peribadi, tanpa mengira tahap kekayaan.

“Pendekatan kami bermula dengan pemahaman terhadap profil risiko pelanggan sebelum menentukan peruntukan aset yang bersesuaian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, CIMB turut memperkenalkan produk berstruktur Islam baharu dikenali sebagai Callable Islamic Range Accrual (CIRA) yang menggunakan Malaysia Islamic Overnight Rate (MYOR-i) sebagai kadar rujukan.

Produk berkenaan merupakan yang pertama di pasaran menggunakan MYOR-i sebagai kadar rujukan, sekali gus memperluas penawaran instrumen kewangan Islam bagi memenuhi keperluan pelanggan. – UTUSAN

Ahmad Shariman (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan pada majlis pelancaran CIMB Islamic Wealth Management Grow.Protect.Purify.Distribute di Kuala Lumpur, semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini