PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) telah menyerahkan satu nama sebagai calon baharu Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Yang di-Pertuan Besar, Tuanku
Muhriz Tuanku Munawir bagi menggantikan Datuk Ismail Lasim.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah menyerahkan cadangan nama itu kepada Istana Negeri Sembilan
kelmarin setelah Ismail mengambil keputusan untuk berundur.
Kelmarin Ismail telah menyerahkan surat peletakan jawatan Menteri Besar ekoran krisis adat negeri sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan.
Tindakan itu ekoran krisis pentabdbiran kerajaan Negeri Sembilan termasuk lebih sebulan tanpa barisan Exco disebabkan pemecatan mereka kerana terkait dengan isu adat dan
takhta.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, namun pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan perkenan Tuanku Muhriz untuk menentukan calon berkenaan.
“Sudah menjadi kelaziman mana-mana parti khususnya BN untuk mengutus warkah kepada istana bagi mencadangkan nama Menteri Besar baharu untuk mendapat perkenan Tuanku.
“Terserahlah kepada Tuanku untuk memberikan perkenan terhadap nama yang telah saya kemukakan. Jika nama itu diterima, hanya Kebawah Duli Tuanku dan pihak istana sahaja yang boleh mengumumkannya.
“Saya selaku ketua parti sebagai Pengerusi Barisan Nasional menyerahkan sepenuhnya soal budi bicara dan perkenan kepada Kebawah Duli Tuanku,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Festival Of Idea Putrajaya 2026 semalam.
Ismail mengambil keputusan berundur sebagai Menteri selepas 106 hari menerajui kerajaan negeri yang berkuat kuasa pada Isnin lalu.
Sementara itu menurut Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir, pihaknya telah menerima satu salinan surat peletakan jawatan Ismail yang telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, BN akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan secara teratur, dengan mengambil kira kedudukan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) serta perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, keputusan Ismail meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dibuat dengan kehendak sendiri dan bukan atas arahan UMNO.
Beliau menjelaskan Ismail tidak memberikan alasan khusus berhubung keputusan meletakkan jawatan itu, namun berkemungkinan mahu permasalahan yang berlaku di negeri berkenaan dirungkaikan secepat mungkin.
“Peletakan jawatan itu dibuat oleh Datuk Ismail sendiri. Tidak timbul soal UMNO mengarahkan beliau berbuat demikian.
“Beliau tidak memberikan alasan. Mungkin atas rasa kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan ini dapat dirungkaikan dengan secepat yang mungkin,” katanya
Ditanya sama ada langkah itu mampu menyelesaikan kemelut politik di Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berharap perkara berkenaan dapat diselesaikan secara baik.
Beliau berkata, BN akan memberi keutamaan kepada proses mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terhadap calon Menteri Besar baharu sebelum membincangkan perkara lain.
“Kita selesaikan untuk Tuanku berkenan memilih Menteri Besar baharu dahulu. Baharu soal-soal lain kita selesaikan,” katanya.
Sementara itu, Ismail minta semua pihak memberi ruang kepadanya buat masa sebelum mengulas lanjut mengenai keputusan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu berkata, beliau kini belum bersedia untuk mengulas lanjut mengenai keputusan berkenaan.
“Maaf. Tapi tiada sidang akhbar atau kenyataan akhbar daripada dalam masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ismail, 67, dilantik sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu selepas BN dan Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos lalu.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah itu terjerumus dalam kemelut dengan Istana Negeri Sembilan apabila dia dilaporkan menandatangani Proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos lalu.
Sejak itu, hubungan antara kedua-dua pihak terjejas dan tidak menemui jalan damai.
Sehingga semalam, Ismail belum menerima perkenan daripada Tuanku Muhriz untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pembentangan Belanjawan 2027.-UTUSAN











