PUTRAJAYA: Hukuman rotan di sekolah tidak pernah dimansuhkan, sebaliknya masih dibenarkan terhadap pelajar lelaki bagi kesalahan tertentu tertakluk kepada peraturan dan tatacara yang ditetapkan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya hanya dibenarkan kepada guru besar, pengetua atau guru yang diberikan kuasa secara nyata oleh pihak berkenaan.
Beliau berkata, hukuman rotan perlu dilaksanakan mengikut tatacara tertentu dan tidak boleh dilakukan atas dasar kemarahan atau sehingga mendatangkan kecederaan kepada murid.
“Setiap hukuman perlu mempunyai asas yang jelas dan direkodkan mengikut ketetapan yang berkuat kuasa.
“Kementerian Pendidikan akan memperincikan semula tatacara ini supaya sekolah, ibu bapa dan masyarakat memahami dengan jelas apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Fadhlina, penjelasan semula mengenai prosedur berkenaan penting bagi memastikan pelaksanaan hukuman rotan di sekolah sentiasa berpandukan peraturan sedia ada serta tidak disalahgunakan.
Beliau mengulas pandangan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Nor Hisam Nordin bahawa kuasa guru disiplin di sekolah perlu dikembalikan bagi membolehkan isu salah laku pelajar ditangani dengan lebih berkesan sekali gus mengelakkannya daripada berlarutan menjadi kesalahan lebih serius.
Kekangan yang dihadapi golongan pendidik ketika ini termasuk dalam aspek pelaksanaan hukuman rotan menyebabkan guru disiplin berdepan kesukaran mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelajar bermasalah.
Nor Hisam turut mengakui tugas mendisiplinkan pelajar kini semakin mencabar berikutan keterbatasan kuasa dihadapi guru disiplin.
Sehubungan itu katanya, pihak PDRM bersama Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mencari kaedah terbaik bagi menangani isu disiplin dalam kalangan pelajar sekolah.











