Ekonomi Malaysia kekal kukuh, KDNK suku ketiga diunjur 5.3 peratus - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia kekal kukuh, KDNK suku ketiga diunjur 5.3 peratus

MALAYSIA perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara melebihi lima peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut bagi mengekalkan status negara maju. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan sekitar 5.3 peratus pada suku ketiga 2026, selari dengan anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), malah berkemungkinan merekodkan prestasi lebih baik.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, angka sebenar yang akan diumumkan DOSM dijangka tidak jauh berbeza daripada anggaran awal berkenaan.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini mencapai 5.5 peratus, mencerminkan momentum ekonomi yang kekal kukuh,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, Malaysia dijangka mampu mengekalkan pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus bagi tahun ketiga berturut-turut, sekali gus menunjukkan prestasi ekonomi negara terus berada pada landasan positif.

“Kestabilan pertumbuhan ekonomi tanpa turun naik ketara penting bagi memastikan momentum tersebut dapat dikekalkan meskipun persekitaran ekonomi global berdepan pelbagai cabaran.

“Kadangkala mengekalkan trajektori yang membosankan ini mengambil kira bahawa kestabilan itu penting untuk mengekalkan pencapaian baik ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, inflasi negara kekal terkawal dengan bacaan bulanan sekitar 1.8 hingga 1.9 peratus, manakala unjuran inflasi bagi 2026 ditetapkan antara 1.5 hingga 2.5 peratus.

Bagaimanapun, ketidaktentuan geopolitik yang mempengaruhi harga tenaga, bekalan bahan mentah dan kos input kekal antara risiko yang perlu dipantau.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Barjoyai Bardai berkata, unjuran pertumbuhan KDNK itu merupakan sasaran yang munasabah dan boleh dicapai, namun penilaiannya perlu mengambil kira asas pertumbuhan serta sejauh mana ia mencerminkan kekuatan sebenar ekonomi domestik.

“Pertumbuhan ekonomi perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan angka keseluruhan, tetapi juga kesannya terhadap pendapatan isi rumah, produktiviti, pelaburan dan peluang pekerjaan.

“Saya melihat angka 5.3 peratus ini daripada dua sudut. Pertama, momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang masih positif.

“Kedua, kualiti pertumbuhan itu sendiri, iaitu sama ada pertumbuhan tersebut benar-benar meningkatkan pendapatan isi rumah, produktiviti, pelaburan dan peluang pekerjaan.

“Ada kemungkinan ekonomi berkembang pada kadar yang baik dari segi angka agregat, tetapi kesannya terhadap kesejahteraan rakyat tidak semestinya sama besar,” katanya.

Tambahnya, terdapat tiga pemacu utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara, iaitu sektor perkhidmatan, pembuatan serta pelaburan dan pembinaan.

“Bagaimanapun, kadar pertumbuhan KDNK tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran kejayaan ekonomi kerana aspek kesejahteraan rakyat juga perlu diberi perhatian.

“Perkara yang perlu dilihat ialah sejauh mana pertumbuhan tersebut menghasilkan peningkatan pendapatan rakyat, peluang pekerjaan berkualiti, produktiviti pekerja serta peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini