BUKIT JALIL:Pelakon dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, memaklumkan bakal melangsungkan majlis perkahwinannya dengan kekasih hati, Francisca Luhong pada Jun tahun depan.
Berkongsi khabar gembira tersebut, Hans berkata, dia dan Francisca telah bertunang beberapa minggu lalu di Perancis tanpa mendedahkan tarikh sebenar.
Kata Hans, Francisca tidak mengetahui perancangan lamaran itu di Paris kerana pada awalnya kehadiran mereka di negara itu adalah untuk urusan kerja.
“Pada awalnya saya ke sana untuk urusan kerja dan Francisca pun tidak tahu hasrat saya untuk bawa dia ke sana. Saya pun hanya menyuruh dia menyediakan pasport sahaja untuk menemani saya bekerja di sana.
“Tentang majlis pula, setakat ini perancangannya pada pertengahan tahun depan. Kami akan mengadakan dua buah majlis iaitu di Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak kerana Francisca ramai keluarga di sana.
“Ada proses juga daripada agama kami yang perlu diselesaikan. Kami perlu menghadiri beberapa kursus perkahwinan.
“Saya teruja dan gembira berkongsi akhirnya bertemu dengan cinta hati saya,”katanya.
Hans berkata demikian ketika ditemui selepas program Meletop di Astro Bukit Jalil, malam tadi.
Mengulas mengenai tunangnya itu, menurut Hans, dia jatuh cinta dengan keperibadian Francisca yang mudah mesra dan pandai membawa diri ketika bersama keluarga dan rakan-rakan baiknya.
“Sebenarnya tiada orang tahu yang kami sudah lama berkawan, sudah tujuh tahun mengenali dia. Hubungan kami berlaku secara ‘natural’, dan akhirnya saya memulakan langkah untuk ke fasa seterusnya.
“Saya suka tengok dia boleh bergaul dan lepak dengan kawan-kawan saya. Kalau nak bawa ke majlis rasmi pun dia pandai bawa diri.
“Francisca pun sudah rapat dengan keluarga saya. Itu paling penting kerana saya mahu teman hidup yang boleh bergaul dan menyayangi keluarga saya,” katanya.
Isnin lalu, Hans mendedahkan bakal mendirikan rumah tangga bersama Francisca dalam masa terdekat.
Menurut Hans, keputusannya untuk mengahwini Francisca merupakan keputusan terbaik yang pernah dibuatnya.









