PUTRAJAYA: Pembangunan Pelan Hala Tuju Iklim dan Alam Sekitar D-8 bagi 2027 hingga 2030 dianggap langkah tepat untuk memperkukuh kerjasama antara negara anggota dan menangani cabaran perubahan iklim.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pelan itu menyediakan pendekatan berstruktur bagi memperluas kolaborasi dalam bidang keutamaan.
Katanya, bidang itu termasuk adaptasi dan daya tahan iklim, peralihan tenaga bersih, pembiayaan iklim, pemindahan teknologi, pemuliharaan biodiversiti serta pemulihan ekosistem.
“Malaysia mengalu-alukan cadangan pembangunan pelan ini. Malaysia melihat potensi besar D-8 untuk memainkan peranan lebih bermakna dalam penyelesaian iklim dan alam sekitar yang saksama, praktikal dan mampan.
“Malaysia juga berharap dapat terlibat secara aktif melalui Kumpulan Kerja Teknikal dan Platform Kerjasama bagi mengenal pasti peluang perkongsian pengetahuan, kerjasama teknikal serta inisiatif bersama yang memberikan manfaat praktikal kepada negara anggota,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sesi Peringkat Menteri D-8 mengenai Tindakan Iklim sempena COP31 di Antalya, Turkiye, hari ini.
D-8 atau Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun ialah organisasi kerjasama ekonomi yang bertujuan membangunkan dan memperkukuhkan ekonomi, perdagangan, teknologi, kepakaran, pertanian, tenaga, alam sekitar dan perubahan iklim antara negara anggota.
Negara anggotanya ialah Malaysia, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan, Turkiye dan Azerbaijan.
Arthur berkata, Malaysia turut mengalu-alukan penubuhan Platform Kerjasama Alam Sekitar dan Iklim D-8 bagi memudah cara dialog dasar, kerjasama teknikal, pertukaran maklumat serta penglibatan dalam perkara berkepentingan bersama.
Platform itu diyakini dapat memperkukuh Kerjasama Selatan-Selatan, berkongsi pengalaman serta mengenal pasti peluang pelaksanaan inisiatif bersama antara negara anggota.
“Kerjasama kita mestilah kekal inklusif, responsif terhadap keadaan negara masing-masing serta menyokong aspirasi pembangunan semua negara anggota D-8,” katanya.
Arthur turut mengalu-alukan penerimaan pakai Rangka Kerja Tindakan Peringkat Menteri Antalya mengenai Kerjasama Iklim dan Alam Sekitar D-8.
Dalam kenyataan sama, beliau menggesa negara maju menunaikan komitmen pembiayaan iklim dan menerajui usaha menggembleng dana bagi membantu negara membangun melaksanakan tindakan iklim.
Tegasnya, pencapaian aspirasi iklim Malaysia bukan sahaja memerlukan komitmen domestik kukuh, malah persekitaran antarabangsa yang kondusif.
Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050 melalui peralihan tenaga, pembangunan industri rendah karbon dan pengukuhan dasar iklim negara.
Malaysia juga menyasarkan pengurangan mutlak pelepasan gas rumah kaca sebanyak 15 hingga 30 juta tan setara karbon dioksida menjelang 2035, berbanding tahun pelepasan puncak. – UTUSAN










