PETALING JAYA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Aziz di Kedah menerima peruntukan RM100,000 yang diumumkan sempena Karnival Keusahawanan dan Kokurikulum Tahun 2026, semalam.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, peruntukan itu diumumkan sebagai penghargaan kepada seluruh warga sekolah.
“Semalam saya berkesempatan bersama anak-anak SMK Tunku Abdul Aziz, Kedah sempena Karnival Keusahawanan dan Kokurikulum Tahun 2026.
“Saya berpesan kepada anak-anak bahawa pendidikan bukan hanya tentang memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang.
“Penglibatan dalam kokurikulum juga penting untuk membina karakter dan keyakinan dalam menghadapi cabaran kehidupan.” katanya dalam kenyataan, semalam.
Fadhlina berkata, pengalamannya menyertai jambori Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di peringkat negeri dan kebangsaan ketika bersekolah banyak mengajarnya tentang disiplin dan nilai kehidupan.
Beliau turut menggalakkan murid supaya berani meneroka peluang baharu, termasuk dalam bidang keusahawanan.
“Dunia sedang berubah dan kita mahu melahirkan generasi yang bukan hanya mencari pekerjaan tetapi mampu mencipta pekerjaan untuk orang lain,” katanya. – UTUSAN











