KUALA TERENGGANU: Projek pembangunan Transit-Oriented Development (TOD) Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Jerteh, Besut dianggarkan menelan kos sebanyak RM16 juta dan dijangka mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, projek berkenaan kini berada pada peringkat penyelarasan keperluan pembangunan serta persediaan dokumen perolehan sebelum memasuki fasa pembinaan.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu telah menerima cadangan skop pembangunan TOD Stesen ECRL Jerteh daripada Majlis Daerah Besut.
“Beberapa mesyuarat penyelarasan turut diadakan di peringkat daerah dan negeri dengan melibatkan JKR negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu serta jabatan dan agensi berkaitan.
“Pada masa ini, JKR Negeri Terengganu sedang menyediakan dokumen Kehendak Kerajaan bagi mengenal pasti, menyelaras dan mendokumenkan keperluan projek dengan jelas sebelum reka bentuk dimuktamadkan,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Riduan Mohamad Nor (Pas- Jertih) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Hanafiah berkata, proses perolehan projek berkenaan dijadualkan bermula pada 26 November 2026, manakala Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada 1 Mac 2027.
Beliau berkata, antara komponen utama pembangunan itu termasuk pembinaan sebuah terminal transit serta bangunan sokongan seperti surau, pondok pengawal, tandas, kedai dan kiosk untuk disewakan.
“Projek itu turut merangkumi pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung (susur gajah) yang menghubungkan Stesen ECRL Jerteh dengan kawasan pusat pengangkutan.
“Selain itu, kemudahan laluan keluar masuk terminal transit, lampu jalan solar dan lampu limpah (high mast), sistem saliran dan perparitan serta kerja pemuliharaan cerun turut dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, kerja landskap, pemasangan perabot jalan dan lain-lain kerja berkaitan juga termasuk dalam skop pembangunan berkenaan bagi menyediakan kemudahan lebih teratur kepada pengguna.
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu melibatkan jajaran sepanjang 242 kilometer yang menghubungkan kawasan utara hingga selatan negeri itu dengan enam stesen iaitu Jertih, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu di Kampung Durian Guling, Marang, Dungun, Kemasik dan Chukai. – UTUSAN











