PETALING JAYA: Institusi asing kembali menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia selepas menamatkan aliran masuk bersih selama dua minggu berturut-turut, dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM270.2 juta sepanjang minggu dagangan yang dilaporkan.
MBSB Research berkata, institusi asing mencatatkan jualan bersih pada tiga daripada empat hari dagangan.
Katanya, aliran keluar tertinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM184.1 juta, diikuti Khamis sebanyak RM149.6 juta dan Rabu sebanyak RM21.5 juta.
“Bagaimanapun, aliran masuk bersih sebanyak RM84.9 juta dicatatkan pada Jumaat, menjadi satu-satunya hari institusi asing merekodkan pembelian bersih sepanjang minggu berkenaan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Mengikut sektor, sektor pembinaan merekodkan aliran masuk bersih asing tertinggi sebanyak RM123 juta, diikuti Pengangkutan dan Logistik sebanyak RM66.2 juta serta Telekomunikasi dan Media sebanyak RM26.8 juta.
“Sebaliknya, sektor teknologi mencatatkan aliran keluar bersih asing terbesar sebanyak RM241.5 juta, diikuti perladangan sebanyak RM98.3 juta dan produk perindustrian dan perkhidmatan sebanyak RM61.6 juta,” katanya.
Sementara itu, institusi tempatan meneruskan trend jualan bersih untuk minggu ketiga berturut-turut dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM56 juta.
“Pelabur runcit pula terus menunjukkan aktiviti pembelian bersih apabila melanjutkan rentetan pembelian kepada 12 minggu berturut-turut, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM326.3 juta.
“Dari segi purata volum dagangan harian (ADTV), ketiga-tiga kumpulan pelabur mencatatkan penyusutan sepanjang minggu berkenaan.
“Volum dagangan pelabur runcit merosot 8.7 peratus, manakala institusi tempatan mencatatkan penurunan lebih ketara sebanyak 24.9 peratus. Institusi asing turut menyaksikan penyusutan sebanyak 0.8 peratus,” katanya.
Perkembangan itu memperlihatkan perbezaan ketara antara aktiviti pelabur runcit dengan institusi, apabila pelabur runcit terus mengukuhkan kedudukan sebagai pembeli bersih, berbeza dengan institusi asing dan tempatan yang masing-masing merekodkan aliran keluar bersih. – UTUSAN











