Anugerah Seri Angkasa 2026: Saya cabar diri untuk berikan yang terbaik - Arja Lee - Utusan Malaysia

Anugerah Seri Angkasa 2026: Saya cabar diri untuk berikan yang terbaik – Arja Lee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan penggiat seni versatil, Arja Lee membuktikan bakat luar biasanya apabila berjaya menggalas tanggungjawab besar sebagai pengarah persembahan dan penulis skrip sempena Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA 2026) pada Oktober lalu.

Arja atau Azharudin Ramli, 43, berkata, peluang menjadi pengarah persembahan dan penulis skrip untuk acara berprestij sebegitu adalah ruang terbaik untuk dirinya mencabar kreativiti serta menguji kemahirannya sendiri.

“Saya rasa saya boleh bangga kerana menjadi insan yang bertuah. Terima kasih Ya Allah, atas peluang yang luar biasa ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Niat saya cuma satu iaitu memberikan yang terbaik untuk ASA 2026, mencabar diri sendiri dan melihat sejauh mana kemahiran, pengalaman serta kreativiti saya boleh pergi,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.

Ujar Arja, kemajuan diri menuntut keberanian untuk keluar daripada zon selesa dan mencabar kemampuan diri sendiri.

“Kerana bagi saya, perkembangan diri bermula apabila kita berani melangkah keluar daripada zon selesa, mencabar had kemampuan dan terus meningkatkan tahap keupayaan diri,” jelasnya.

Dalam hantaran sama, Arja menzahirkan ucapan terima kasih atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama erat semua pihak yang terlibat menjayakan acara tersebut.

“Kepada semua yang terlibat, terima kasih atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang begitu bermakna,” katanya.

Dalam Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA 2026), Arja Lee memainkan dua peranan penting di belakang tabir iaitu sebagai Pengarah Persembahan dan Penulis Skrip.

Arja bertanggungjawab merancang konsep kreatif pentas bertemakan “Broadway Cara Kita” serta menulis skrip induk siaran (master broadcast script) bagi memastikan keseluruhan visual, aliran persembahan dan perjalanan majlis berjalan lancar menepati naratif acara.

Acara berprestij edisi ke-37 anjuran Kementerian Komunikasi dan RTM ini telah berlangsung pada 24 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini