KUALA LUMPUR: Draf Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan yang melibatkan kawalan pemasaran makanan tidak sihat, perlindungan pemakanan bayi dan kanak-kanak serta pelaksanaan pemakanan sihat di institusi dijangka siap pada 2027 sebelum dibentangkan di Parlimen.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, RUU berkenaan sedang dirangka bagi meningkatkan literasi kesihatan, membudayakan amalan pemakanan sihat serta mewujudkan persekitaran yang menyokong pilihan makanan lebih sihat dalam kalangan rakyat.
Katanya, cadangan penggubalan RUU itu telah dimulakan sejak 2022 dan dilaksanakan secara berfasa dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
“Cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan telah dimulakan pada tahun 2022 dan dilaksanakan secara berfasa.
“Bagi tempoh 2022 hingga 2024, tumpuan diberikan kepada pelaksanaan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan dan input awal berhubung cadangan penggubalan RUU ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) berhubung garis masa penggubalan RUU Pemakanan, objektif, skop utama, kos keseluruhan serta mekanisme penglibatan pihak berkepentingan dalam proses penggubalan dan pelaksanaannya.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, bagi tempoh 2025 hingga 2026, kementerian memberi tumpuan kepada pemantapan skop RUU, pelaksanaan Analisis Impak Peraturan (RIA), konsultasi teknikal serta pembangunan kerangka perundangan.
Katanya, RUU berkenaan akan melengkapi Akta Makanan 1983 yang ketika ini mengawal selia aspek keselamatan, kualiti, komposisi dan pelabelan produk makanan.
Selain itu, beliau berkata, anggaran kos keseluruhan pelaksanaan RUU berkenaan akan ditentukan berdasarkan hasil RIA serta keperluan pelaksanaannya.
“KKM telah, sedang dan akan mengadakan sesi konsultasi dan libat urus bersama agensi kerajaan, pakar kesihatan, ahli akademik, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan pengguna dan masyarakat umum.
“Pandangan yang diterima akan diambil kira dalam penggubalan RUU bagi memastikan perundangan yang dicadangkan memenuhi keperluan kesihatan awam dan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya. – UTUSAN











