Penipuan dalam talian, isu Rohingya tumpuan Dewan Rakyat hari ini - Utusan Malaysia

Penipuan dalam talian, isu Rohingya tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerugian membabitkan penipuan dalam talian yang mencecah RM3.8 bilion serta isu pelarian Rohingya antara perkara yang dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan punca kerugian penipuan dalam talian itu serta kadar pemulangan wang kepada mangsa yang masih rendah.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu di luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) meminta Menteri yang sama supaya menjelaskan langkah jangka panjang kerajaan menangani isu pelarian Rohingya susulan terhentinya proses penempatan semula ke negara ketiga.

Beliau turut membangkitkan kerjasama kerajaan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan negara ketiga bagi menangani isu berkenaan.

Selain itu, Mohd. Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah kes dan kerugian akibat penipuan dalam talian sepanjang tahun ini.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai cadangan mengenakan tanggungjawab terhadap bank, syarikat telekomunikasi dan platform digital sekiranya kelemahan sistem mereka menyebabkan penipuan berlaku.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) pula meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memperincikan rancangan memperluas stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) ke kawasan luar bandar dan pekan kecil.

Dalam pada itu, Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan status pemetaan digital sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, termasuk usaha mengenal pasti lorong tikus dan kawasan berisiko tinggi.

Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadual meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat Jawatankuasa, termasuk usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 berjumlah RM85 bilion.

Persidangan turut dijadual menyaksikan tiga rang undang-undang dibentangkan untuk bacaan kali pertama, termasuk Rang Undang-Undang Kewangan 2026 dan Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini