MANILA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura susulan kebakaran hutan dan tanah di negaranya yang menyebabkan jerebu rentas sempadan, selain berikrar mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat yang terbabit.
Prabowo berkata, kerajaan Indonesia komited membendung kebakaran hutan dan tidak akan berkompromi dengan syarikat yang didapati terlibat dalam kegiatan sehingga mencetuskan krisis alam sekitar itu.
Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN di Manila pada Ahad, beliau berkata, pelbagai usaha sudah dilaksanakan bagi mengawal kebakaran, termasuk menarik balik konsesi syarikat dan menjalankan siasatan jenayah.
“Kami sudah menarik balik 17 konsesi syarikat, manakala 26 syarikat sedang disiasat. Sebanyak 11 syarikat sudah didakwa dan 23 lagi dalam senarai untuk didakwa. Secara keseluruhan, 104 syarikat sedang disiasat oleh pihak polis,” katanya.
Indonesia berdepan kebakaran hutan dan tanah sejak hampir empat bulan lalu, menyebabkan asap merebak merentasi sempadan negara dan menjejaskan penduduk di Malaysia serta Singapura.
Prabowo berkata, kerajaan menggerakkan seramai 71,000 anggota bagi memadamkan kebakaran itu, sekali gus memerlukan pengorbanan besar dari segi tenaga manusia dan kos operasi.
“Kami mengerahkan 71,000 anggota bomba hutan untuk memadamkan kebakaran. Seramai 16 anggota terkorban, manakala ramai lagi cedera ketika menjalankan operasi memadam kebakaran. Kami juga kehilangan dua helikopter,” katanya.
Beliau menegaskan Indonesia perlu mengubah pendekatan secara menyeluruh dalam menangani kebakaran hutan dan tanah dengan memberi tumpuan kepada langkah pencegahan sistematik, bukan sekadar operasi pemadaman dan pengurusan bencana.
Menurutnya, kerajaan sedang merangka penubuhan sebuah agensi baharu serta memperkenalkan beberapa program bagi memperkukuh keupayaan negara mencegah kebakaran pada masa hadapan.
Isu jerebu rentas sempadan sekian lama menjadi kebimbangan di Asia Tenggara, terutama ketika musim kemarau berpanjangan apabila kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia menyebabkan asap merebak ke negara jiran.
ASEAN menerima pakai Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2002 bagi mewujudkan kerangka kerjasama serantau untuk mencegah dan memantau kebakaran hutan serta tanah, selain mengurangkan kesan pencemaran merentasi sempadan.
Indonesia meratifikasi perjanjian itu pada 2014.- AGENSI











