JAKARTA: Bekas Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka mengesahkan akan terus menetap di Jakarta meskipun tidak lagi memegang jawatan itu.
Gibran turut menegaskan beliau tidak bercadang untuk kembali ke Solo.
“Tidak, saya akan kekal di sini. Tiada sesiapa di Solo,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Himmatul Masaakiin, Kebayoran Baru, Gandaria, Jakarta Selatan.
Beliau berkata, kehadirannya di kawasan Kebayoran Baru adalah untuk mengeratkan silaturahim dengan penduduk setempat.
“Supaya saya dapat bersilaturahim dengan penduduk di sekitar Kebayoran ini,” katanya.
Kehadiran Gibran di masjid berkenaan disambut dengan penuh keterujaan oleh orang ramai.
Sebaik selesai menunaikan solat, orang ramai dilihat berebut-rebut untuk bersalaman dan bergambar dengannya.
Kanak-kanak turut mengambil kesempatan meminta tandatangan Gibran, manakala beberapa wanita dilaporkan menitiskan air mata sambil memberikan kata-kata semangat kepadanya.
Gibran menyampaikan kenyataan rasmi selepas memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Indonesia pada Khamis.
Dalam ucapannya, Gibran berkata, keputusan itu dibuat selepas melalui pertimbangan yang panjang dan teliti demi mengutamakan kepentingan negara.
Beliau turut mendedahkan sejak awal tidak pernah merancang atau berhasrat untuk memegang jawatan tersebut sebelum ditawarkan untuk bergandingan dengan Presiden, Prabowo Subianto pada September 2023.
Gibran menegaskan, keputusan meletakkan jawatan itu bukan disebabkan isu ijazah, sebaliknya merupakan pilihan peribadi bagi memastikan pentadbiran kerajaan dapat berjalan dengan lebih tenang dan memberi tumpuan kepada urusan negara.
Beliau turut memohon maaf kepada rakyat serta merakamkan penghargaan kepada Prabowo, barisan Kabinet, sukarelawan dan semua pihak yang telah bekerjasama dengannya.-AGENSI











