2.88 juta hektar kawasan hutan Indonesia musnah terbakar

2.88 juta hektar kawasan hutan Indonesia musnah terbakar

EMPAT syarikat disyaki terlibat kebakaran hutan di Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kebakaran hutan di Indonesia memusnahkan kawasan seluas 2.88 juta hektar sejak awal tahun ini, dengan fenomena El Nino kuat dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu.

Berdasarkan analisis imej satelit oleh badan pemantau Nusantara Atlas, keluasan kawasan terbakar setakat ini bersamaan 18 kali ganda keluasan London, menurut laporan AFP pada Rabu.

Angka itu meningkat hampir sejuta hektar berbanding data terakhir yang dikeluarkan laman pemantauan penyahhutanan itu pada September lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, kerajaan Indonesia belum mengeluarkan angka rasmi keluasan kawasan terbakar sejak mengumumkan sebanyak 202,000 hektar musnah sehingga akhir Julai lalu.

Pengasas Nusantara Atlas, David Gaveau, berkata keluasan kebakaran yang dikesan menerusi analisis sehingga akhir Oktober itu merupakan anggaran minimum, antaranya kerana asap menghalang pengesanan imej satelit.

Beliau berkata, keluasan kawasan terjejas pada tahun ini sudah melepasi rekod sepanjang 2019, yang sebelum ini dianggap tahun paling buruk berdasarkan data badan pemantau itu.

Indonesia turut berdepan kebakaran besar pada 2015, namun perbandingan langsung sukar dilakukan berikutan perbezaan teknologi imej satelit yang digunakan ketika itu.

Bagaimanapun, skala kemusnahan akibat kebakaran tahun ini tidak dapat dinafikan, kata Gaveau.

“Pada asasnya, tahun ini merupakan tahun yang amat buruk,” katanya.

Kehadiran hujan membantu mengawal beberapa kebakaran paling buruk, manakala pemantauan menunjukkan jumlah titik panas mula stabil atau menurun.

Bagaimanapun, keluasan keseluruhan kawasan terbakar dijangka terus meningkat berikutan masih terdapat kebakaran yang belum dipadamkan, selain kawasan yang sebelum ini terlindung asap mula dapat dikesan menerusi imej satelit dalam beberapa bulan akan datang.

Jurucakap Kementerian Perhutanan Indonesia, Ristianto Pribadi, berkata kerajaan masih menjalankan kerja mengemas kini anggaran keluasan kawasan yang terjejas akibat kebakaran.

“Pengemaskinian data keluasan kawasan tanah dan hutan yang terjejas akibat kebakaran memerlukan pengesahan serta penelitian mendalam,” katanya kepada AFP.

Beliau berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan jadual pengumuman data terbaharu itu.

Indonesia berdepan kebakaran hutan setiap musim kemarau, namun kebakaran tahun ini lebih buruk berikutan kemarau berpanjangan yang dicetuskan fenomena cuaca El Nino.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini