HULU SELANGOR: Sebanyak 14 lokasi rekreasi di daerah Hulu Selangor dikenal pasti berisiko berlaku kejadian kepala air.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, Sungai Pertak, Sungai Siling dan Sungai Batang Kali turut dikenalpasti antara lokasi titik panas utama.
Katanya, sebanyak sembilan kejadian kepala air dilaporkan di tiga lokasi berkenaan setakat ini.
Ujar beliau, Sungai Batang Kali mencatatkan kejadian tertinggi iaitu empat insiden, diikuti Sungai Siling (tiga) dan Sungai Pertak (dua).
“Daripada sembilan kejadian kepala air yang direkodkan di tiga lokasi itu, hanya insiden di Sungai Pertak melibatkan mangsa manakala kejadian lain tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan JBPM di Jambatan Pertak di sini, hari ini.
Menurutnya, 11 lokasi lain yang turut dikenal pasti berisiko ialah Lata Medang di Kuala Kubu Bharu, Sungai Inki di Kalumpang dan River View Sungai Bernam.
Katanya, lokasi lain ialah Sungai Sendat dan Sungai Tua di Ulu Yam, Sungai Kedondong di Batang Kali, Sungai Cilin di Kuala Kubu Bharu serta Sungai Pinang di Batang Kali.
“Turut disenaraikan ialah Air Terjun Serendah di Serendah, Air Terjun Semangkuk dan Sungai Liam di Hulu Selangor,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara semua aktiviti rekreasi air susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negara.
“Ia membabitkan aktiviti mandi-manda, berenang, berkelah dan berkhemah di kawasan sungai, jeram, air terjun serta tali air sepanjang tempoh berkenaan.
“Langkah itu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat setempat dan pengunjung mengenai bahaya kepala air, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu sepanjang musim berkenaan,” katanya.
Semalam, JBPM menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sebarang aktiviti rekreasi air sepanjang MTL 2026/2027 berikutan risiko hujan lebat dan berterusan yang boleh menyebabkan peningkatan paras air secara mendadak serta arus deras.
Media sebelum ini melaporkan lapan individu, termasuk seorang warga tempatan dan tujuh warga asing, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak kira-kira pukul 5.30 petang Isnin lalu.
Mangsa yang dilaporkan hilang terdiri daripada seorang warga Yaman, Sri Lanka, Nepal dan empat warga India.- UTUSAN







